AM > BERITA

LELAKI CIPTA RELAU MASAK LEMANG LEBIH CEPAT

08/05/2024 06:16 PM

Oleh Mohd Taha Yaacob

JERTIH, 8 Mei (Bernama) -- Seorang peniaga lemang di Kampung Alor Belanga dekat Kampung Alor Keladi di sini berjaya mencipta kaedah membakar lemang agar lebih cepat masak, namun masih mengekalkan keaslian rasanya sama seperti lemang yang dibakar menggunakan kaedah tradisional. 

Mohd Zailani Mohd Nor, 49, berkata kaedah memasak lemang menggunakan relau kayu api itu diusahakan beliau tiga tahun lepas.

“Idea untuk mencipta relau yang diperbuat daripada bata, simen dan tanah liat ini tercetus setelah  memikirkan kaedah lama membakar lemang memakan masa panjang, memenatkan selain memerlukan pekerja yang ramai untuk membakar ratusan batang lemang setiap hari.

“Dengan menggunakan kaedah ini, saya boleh kurangkan tempoh bakar lemang daripada empat jam yang menggunakan pembakaran biasa kepada hanya dua jam setengah sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Beliau yang menjual lemang sejak 13 tahun lepas terutamanya pada bulan Ramadan dan Syawal berkata kaedah itu juga menjimatkan kos terutamanya apabila tidak lagi perlu mengupah pekerja, sebaliknya hanya membakarnya sendiri dengan dibantu isteri, Shafiz Diyana Mat, 38.

Selain itu, memasak lemang dengan dapur relau juga menjimatkan masa dan kurang terdedah kepada haba memandangkan sebanyak 70 batang lemang boleh dimasukkan ke dalam relau itu pada satu-satu masa. 

“Berbeza dengan memasak lemang menggunakan kaedah tradisional yang kena sentiasa menjaga api bagi memastikan tiada bahagian buluh yang rentung, dengan cara ini, saya hanya perlu pastikan api besar pada peringkat awal sahaja dan apabila lemang mendidih, hanya bara diperlukan sehingga masak.

“Penggunaan relau tidak akan menyebabkan buluh rentung kerana lemang masak daripada haba panas  kayu api yang dibakar di ruang bersebelahan kemudian masuk melalui lubang khas ke relau seterusnya membolehkan lemang masa sekata tanpa perlu memusingkan buluhnya,” katanya.

Menurutnya lemang dapur relau itu dijual bermula RM5 hingga RM15 sebatang bergantung kepada saiz buluh dan meraih sambutan menggalakkan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan