AM > BERITA

KPM HARAP LEBIH BANYAK PENGLIBATAN SWASTA

10/05/2024 03:49 PM

NIBONG TEBAL, 10 Mei (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) berharap lebih banyak syarikat swasta akan bekerjasama dengan kerajaan dalam membantu menjayakan pelbagai program melibatkan agenda pendidikan negara.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata hal itu termasuk usaha memberikan peluang dan ruang kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) untuk menikmati pembelajaran seperti murid-murid lain di aliran perdana.

Pada masa sama, beliau berkata KPM akan memastikan MBPK dapat mengikuti pendidikan setara dan berkualiti selain menikmati fasiliti pembelajaran terbaik, selaras konsep Pendidikan Manusiawi yang berlandaskan Falsafah Pendidikan Negara serta Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025). 

"Saya berharap agar kerjasama antara kumpulan sokongan profesional seperti ahli terapi dengan guru-guru dapat dirancakkan lagi supaya MBPK menerima manfaat perkhidmatan, sekali gus berupaya untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dirancang KPM," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bilik Multisensori Able Perfect Sdn Bhd di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa di sini hari ini.

Able Perfect membelanjakan RM250,000 untuk empat Bilik Multisensori itu yang dibangunkan dengan kerjasama Yayasan Didik Negara dan mendapatkan khidmat nasihat daripada guru serta pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri.

Selain SK Seri Sentosa, Fadhlina berkata tiga lagi sekolah yang menerima Bilik Multisensori berkenaan ialah SK Long Jaafar Kamunting, SK Seri Setiawan dan SK Pendidikan Khas Ipoh di Perak.

Sehubungan itu, beliau juga berharap Bilik Multisensori dapat menyokong kefungsian dan kemenjadian MBPK daripada peringkat pendidikan sekolah rendah sehingga ke peringkat menengah dan seterusnya bersedia ke arah kebolehpasaran mereka apabila tamat persekolahan. 

Menurut Fadhlina, kemudahan tersebut amat sesuai digunakan oleh murid yang mempunyai masalah pembelajaran seperti Autisme, Sindrom Down, Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD) dan sebagainya. 

Beliau berkata permasalahan membabitkan akses pendidikan muncul dari pelbagai penjuru seperti demografi, kemiskinan multidimensi dan kesamarataan peluang pendidikan khususnya bagi anak-anak berkeperluan khas. 

Justeru, katanya KPM sentiasa menyokong dan mengamalkan prinsip pendidikan untuk semua golongan tanpa mengira latar belakang, ketidakupayaan, kaum dan ekonomi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan