AM > BERITA

UTP, ICAEW METERAI KERJASAMA, TAWAR PAKEJ MINOR PERAKAUNAN DAN KEWANGAN BAHARU

11/05/2024 10:41 AM

KUALA LUMPUR, 10 Mei (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan  Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) telah menandatangani kerjasama penting, menyaksikan UTP menggabungkan sukatan pelajaran Sijil Kewangan, Perakaunan dan Perniagaan (CFAB) ke dalam pakej minor perakauan dan kewangan baharu.

UTP dalam kenyataan memaklumkan program minor direka khusus bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan sebagai memenuhi permintaan semakin meningkat untuk profesional perakaunan dan kewangan sedia industri selain memenuhi keperluan pelajar yang mendaftar dalam program Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBM) serta program bukan BBM terpilih.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib manakala ICAEW diwakili Ketua ICAEW Malaysia Shenola Gonzales.

Pro Canselor UTP dan Presiden Petronas serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tengku Muhamammad Taufik dan ahli majlis ICAEW Datuk Mohamad Faiz Azmi menyaksikan majlis berkenaan.

Mohamad Ibrahim dalam kenyataan berkata kerjasama antara UTP dan ICAEW akan membuka pintu kepada laluan kerjaya yang pelbagai kepada pelajar universiti iaitu mereka boleh mengikuti pentauliahan profesional daripada ICAEW, sebuah institusi disegani di peringkat global terkenal dengan kecemerlangan dalam perakaunan dan kewangan.

“Akreditasi berprestij ini akan meningkatkan kebolehpasaran graduan UTP dan membuka pelbagai peluang dalam pasaran global," katanya.

Sementara itu, Gonzales berkata kerjasama antara UTP dan ICAEW menawarkan penyelesaian menarik untuk landskap kompetitif hari ini dan menyediakan graduan yang berjaya adalah penting.

“Dengan memudahkan peluang pelajar UTP ke arah kelayakan Akauntan Bertauliah (ACA), kami meningkatkan kebolehpasaran mereka dan menyediakan laluan jelas untuk menjadi akauntan bertauliah.

“Dengan sokongan Authorised Training Employers (ATEs), pelajar boleh memulakan perjalanan profesional mereka dengan yakin, disokong oleh institusi bertaraf dunia dan kelayakan yang diiktiraf di peringkat global,” katanya.

Melalui kerjasama itu, UTP dan ICAEW akan menyelaraskan pakej minor Perakaunan dan Kewangan dengan sukatan pelajaran CFAB ICAEW.

Menurut kenyataan itu, dengan memanfaatkan kepakaran dan sumber ICAEW, UTP menyasarkan untuk meningkatkan pengalaman pendidikan pelajarnya, melengkapkan mereka dengan kelayakan diiktiraf di peringkat global yang mempunyai nilai penting dalam industri dan menyediakan pelajar untuk berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya.

Ciri tersendiri kerjasama ini ialah keterangkuman, iaitu UTP membenarkan pelajar dari pelbagai bidang seperti teknologi maklumat, sains komputer, sistem maklumat dan program kejuruteraan untuk menerima faedah pensijilan CFAB.

Perjanjian itu juga menyediakan ahli fakulti UTP dengan peluang pembangunan profesional yang tiada tandingan melalui ICAEW, memperkayakan lagi pengalaman pembelajaran untuk pelajar kerana fakulti kekal di peringkat termaju dalam bidang berkenaan.

Kerjasama itu juga memangkin pertumbuhan dan kemajuan bagi kedua-dua pihak dan UTP memastikan graduannya dilengkapi dengan baik untuk berkembang maju di pasaran global melalui penyelarasan kurikulum dengan piawaian antarabangsa dan amalan terbaik.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan