AM > BERITA

TERPENGARUH FAHAMAN SALAH PUNCA WANITA TIDAK MAHU JALANI MAMOGRAM

05/06/2024 06:36 PM

IPOH, 5 Jun (Bernama) -- Fahaman dan kepercayaan salah terhadap pseudosains menjadi antara punca wanita tidak mahu melakukan pemeriksaan mamogram untuk mengesan kanser payudara. 

Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) Prof Madya Dr M. Murallitharan berkata perbuatan sesetengah pihak yang menyebarkan maklumat salah kononnya apabila menjalani pemeriksaan mamogram individu berkenaan sudah pasti menghidap kanser payudara adalah berita palsu semata-mata.

"Ada sesetengahnya apabila mengetahui dirinya dikesan menghidap barah payudara, individu terbabit bertindak membunuh diri tanpa menjalani apa-apa rawatan kerana mempercayai kononnya semua rawatan kemoterapi dan radioterapi akan membuatkan keadaan dirinya lagi teruk dan tidak dapat hidup lebih lama.

"Oleh itu, kita memberi penerangan terlebih dahulu kepada golongan wanita yang mahu menjalani pemeriksaan mamogram supaya mereka mempunyai kesedaran awal untuk mencegah kanser payudara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Fasa ke-6 Program Mamogram Percuma Etiqa bersama NCSM di sini hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Pengerusi Etiqa International Holdings Datuk R. Karunakaran.

Terdahulu, Murallitharan dalam sembah ucapannya berkata sebanyak 27,500 wanita dari Perak, Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, Penang, Kedah, dan Negeri Sembilan telah menjalani pemeriksaan mamogram secara percuma sejak 2017.

"Pada fasa kelima, Etiqa dengan bermurah hatinya telah menyumbang sebuah trak kesihatan yang juga dipanggil sebagai Klinik Saringan Bergerak Nasional Etiqa kepada pihak NCSM. 

"Sehingga kini, trak kesihatan yang dikendalikan pihak NCSM ini telah berjaya menyaring lebih 50,000 individu bagi kanser payudara, serviks dan prostat," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan