AM > BERITA

FAIZAL ISMAIL GUNA PLATFORM MEDIA SOSIAL BERI MOTIVASI TUNAI HAJI

09/06/2024 10:02 AM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 9 Jun (Bernama) -- Selepas mengambil keputusan untuk ‘berhijrah’ kira-kira tiga tahun lepas, personaliti radio dan televisyen Faizal Ismail, atau lebih dikenali sebagai FBI, banyak menggunakan platform media sosial untuk berkongsi hal-hal keagamaan.

Walaupun menyedari dirinya banyak kekurangan, bekas penyampai sebuah stesen radio itu menggunakan kelebihan mempunyai 62,000 pengikut di Instagram dan 20,000 pengikut di Facebook untuk terus berdakwah ke arah kebaikan, berbekalkan sedikit ilmu.

Peluang menjadi antara 31,600 duyufrurrahman atau tetamu Allah bersama isteri Nor Azlina Ahmad Din dan anak sulungnya Nur Khairina untuk musim haji ini, turut dimanfaatkan beliau untuk menanam kesedaran dalam kalangan peminatnya tentang kepentingan menabung bagi menunaikan haji.

“Apabila mendapat tawaran menunaikan haji baru-baru ini, saya terus maklumkan kepada semua menerusi media sosial dan saya tak sangka saya terima banyak respons positif yang mengucapkan tahniah dan sebagainya.

“Mula-mula saya tak nak ambil serius, tetapi terfikir mungkin dengan perkongsian ini akan menyebabkan mereka tergerak hati untuk mendaftar menunaikan haji, jadi saya rasa ada tanggungjawab saya di situ walaupun sekadar perkongsian sahaja,” katanya kepada petugas media di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Faizal, 48, berkata sebagai persiapan untuk menunaikan haji, selain mengikuti kursus asas haji dan kursus perdana haji yang dianjurkan oleh TH, beliau dan keluarga turut mengambil inisiatif belajar bersama seorang ustaz.

Menurut Faizal, mereka mahu memahami lebih mendalam mengenai rukun Islam kelima itu khususnya persoalan berkaitan ibadah semasa hari kemuncak haji iaitu melibatkan perjalanan dari hotel ke Arafah, Muzdalifah, Mina dan sewaktu melontar jamrah.

“Walaupun saya sudah sedikit sebanyak faham keadaan ibadah ini disebabkan telah biasa membawa jemaah umrah, namun untuk ibadah haji ini ada tambahan ilmu yang saya perlu pelajari sebab itu saya mengupah seorang ustaz untuk belajar,” katanya.

Beliau turut memuji kecekapan TH menguruskan kemudahan dan kebajikan jemaah haji yang disifatkannya amat sistematik, bermula dengan berlepas dari tanah air sehinggalah tiba di Tanah Suci, selain petugas yang mesra dalam melayan ragam jemaah.

“Di setiap sudut ada petugas dan kita jumpa pun mereka dalam keadaan tenang, senyum...mungkin (mereka) juga rindukan anak-anak dan keluarga yang ditinggalkan lama di tanah air untuk menyantuni duyufurrahman. Saya rasa mereka telah mendapat latihan yang cukup untuk berhadapan dengan ujian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan