AM > BERITA

JURUFOTO, JURUKAMERA AGENSI BERITA ANTARABANGSA MENAIKI HELIKOPTER TINJAU KAWASAN SUCI

18/06/2024 12:03 AM

Daripada Nashir Mansor

MAKKAH, 17 Jun (Bernama) -- Jurufoto dan jurukamera daripada 10 agensi berita antarangsa hari ini dibawa menaiki helikopter bagi merakamkan suasana dan panorama kawasan suci tumpuan jemaah yang sedang menunaikan ibadah haji tahun ini.

Antara kawasan berkenaan ialah Arafah, Muzdalifah, Mina dan Masjidil Haram.

Padang Arafah ialah lokasi jemaah memulakan ibadah haji iaitu Wukuf di Muzdalifah (tempat bermalam), Mina(melontar) dan Masjidil Haram (Tawaf Umrah, Tawaf Ifadah dan Sai).

Tinjauan dari ruang udara Padang Arafah menyaksikan kawasan itu sunyi sepi berbanding ketika hari Wukuf pada 9 Zulhijah apabila lebih 1.8 juta juta jemaah berhimpun di kawasan berkenaan.

Kawasan Muzdalifah yang terletak antara Mina dan Arafah juga sunyi apabila jemaah haji meninggalkan kawasan itu menuju ke Mina bagi melontar jamrah selepas mabit (bermalam) di kawasan berkenaan sejurus masuk waktu Maghrib pada 9 Zulhijah.

Muzdalifah pula lokasi suci ketiga dilalui jemaah haji ketika menunaikan haji selepas Masjidil Haram dan Arafah. Ketika di Muzdalifah, jemaah akan menjamak (mengumpul) dan meringkaskan solat Maghrib dengan Isyak). Jemaah juga mengutip batu-batu kecil di Muzdalifah untuk melontar jamrah di Mina.

Bagaimanapun ketika ini Mina menjadi tumpuan jemaah bagi menyempurnakan ibadah jamrah di ketiga-tiga jamrah yang dikaitkan dengan pengorbanan Nabi Ibrahim yang bermula sejak semalam 10 Zulhijah dan berakhir pada 13 Zulhijah.

Masjidil Haram pula kini masih sesak dengan jutaan jemaah sama ada kerana menunaikan Tawaf Ifadah, umrah atau melaksanakan solat berjemaah di kawasan paling suci itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan