AM > BERITA

WARIS BEKAS JURUGAMBAR NSTP TERIMA FPM, PENCEN PENAKAT PERKESO

10/06/2024 09:44 PM

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Waris bekas jurugambar New Straits Times Press (NSTP) Allahyarham Ahmad Irham Mohd Noor layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengerusi Lembaga PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal berkata balu Allahyarham, Azlimi Ayub@Abdullah, 43, dan dua anak masing-masing berumur 14 dan 18 tahun layak menerima FPM bernilai RM3,000 secara sekali bayar dan Pencen Penakat sebanyak RM2,429.38 setiap bulan untuk sepanjang hayat.

"Dua anaknya layak menikmati faedah berkenaan hingga berusia 21 tahun jika belum berkahwin dan boleh dilanjutkan sekiranya menyambung pengajian ke peringkat ijazah pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 Untuk rekod, PERKESO telah menguatkuasakan kadar bayaran FPM yang baharu iaitu RM3,000 berbanding RM2,000 sebelum ini dan telah mula berkuat kuasa mulai 1 Jun lepas.

Ahmad Irham yang berkhidmat selama hampir 20 tahun hingga Mac 2020 meninggal dunia pada 5 Jun lepas akibat Severe Sepsis With Multiorgan Failure selepas mengalami gejala demam dan jangkitan kuman dalam darah. 

Menurut Subahan, walaupun Ahmad Irham bukan lagi pencarum aktif berikutan tidak lagi berkhidmat dengan NSTP serta menjalankan aktiviti pertanian dengan menanam cili dan timun, rekod caruman sedia ada telah berupaya membantu waris keluarga beliau untuk meneruskan kehidupan selepas pemergiannya.

“Pemberian faedah ini membuktikan setiap caruman yang dibuat adalah demi kemaslahatan pencarum dan orang tanggungannya sekiranya berlaku musibah," katanya.

Susulan itu, beliau menyeru majikan yang masih belum mendaftar dan mencarum PERKESO untuk mengambil ibrah daripada kejadian berkenaan dengan melaksanakan tanggungjawab mendaftar dan mencarumkan pekerja demi manfaat semua pihak terutamanya dalam tempoh pelanjutan Bulan Pemutihan yang dilaksanakan PERKESO hingga 30 Jun 2024.

Terdahulu, Subahan dan wakil PERKESO menyampaikan faedah PERKESO kepada waris Ahmad Irham menerusi Program Ziarah Prihatin di rumahnya di Presint 17 di sini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan