AM > BERITA

KKM REKOD 2,643 KES KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA

11/06/2024 05:15 PM

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan sebanyak 2,643 kes kemalangan di tempat kerja dalam kalangan warga kerjanya pada tahun lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dalam tempoh yang sama, sebanyak 1,914 kes kecederaan alatan tajam, 62 kes keracunan pekerjaan, 36 kes hilang pendengaran akibat bunyi bising, 186 kes penyakit kulit pekerjaan, 322 kes penyakit paru-paru pekerjaan serta 125 kes penyakit pekerjaan lain-lain turut dilaporkan.

Beliau berkata bagi melindungi petugas kesihatan yang terdedah kepada bahaya dan risiko semasa bekerja, pelbagai langkah kawalan dan penambahbaikan di fasiliti kesihatan telah diambil. 

Dzulkefly berkata doktor kesihatan pekerjaan, pegawai keselamatan dan kesihatan, jururawat kesihatan pekerjaan dan sebagainya mempunyai peranan yang penting dalam memastikan bahaya serta risiko di tempat kerja berada pada tahap yang minimum.

"Menurut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022, majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anggota, manakala anggota mempunyai tanggungjawab untuk mematuhi arahan berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"Wajarlah aspek-aspek keselamatan dan kesihatan pekerja diberi keutamaan kerana modal insan merupakan aset terpenting bagi sesebuah organisasi yang menentukan kejayaan mereka," katanya berucap pada Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia Peringkat Kebangsaan di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Teks ucapan beliau diedarkan kepada media di sini.

Beliau berkata KKM sentiasa mengutamakan kesejahteraan petugas kesihatan dan mengambil pendekatan pencegahan lebih baik daripada rawatan.

"Dengan itu, budaya pencegahan harus diterapkan dalam diri setiap anggota untuk mengurangkan kejadian kemalangan, kecederaan, keracunan dan penyakit pekerjaan di samping mengekalkan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan selesa.

"Selari dengan perkembangan, diharapkan semua pihak dapat bekerjasama memenuhi keperluan perundangan serta garis panduan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan