AM > BERITA

Dasar Tangani Buli Siber Di Tempat Kerja Perlu Diperkukuhkan - MEF

30/07/2024 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Majikan perlu memperkukuhkan dasar anti buli dan menggunakannya secara berkesan bagi menangani ancaman buli siber di tempat kerja, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata kegiatan buli kini semakin parah apabila cara lama membuli kini diperluaskan kepada bentuk baharu, iaitu buli di alam siber.

Oleh sebab itu, beliau berkata penting bagi majikan untuk mengekalkan persekitaran tempat kerja yang selamat kepada pekerja dan keluarga mereka.

“Pengurus dan penyelia perlu mengenal pasti bentuk buli siber dan menangani pembuli secara berhati-hati. Jika buli siber menjadi gangguan atau gangguan seksual, syarikat perlu mematuhi dasar syarikat dan piawaian undang-undang yang ditetapkan untuk menguruskan keadaan itu.

Ini termasuk memulakan siasatan terperinci, secara dalaman atau melalui penglibatan agensi luar dan mengambil langkah sewajarnya berdasarkan hasil siasatan. Tindakan displin boleh bermula daripada kaunseling dan tindakan pembetulan kepada pemberhentian, bergantung kepada tahap keburukan tingkah laku itu,” katannya dalam satu kenyataan.

Syed Hussain berkata langkah proaktif penting dalam menangani buli siber di tempat kerja, dan majikan perlu menyatupadukan panduan itu ke dalam rangka kerja operasi mereka, demi  melindungi tenaga kerja mereka dengan berkesan.

Beliau berkata tanpa penyelesaian, mangsa buli boleh menjadi teruk dengan mungkin mengalami masalah kebimbangan, kemurungan dan penurunan dalam mutu kerja dan secara tak langsung boleh menyebabkan mangsa tidak hadir bekerja.

“Moral keseluruhan tempat kerja boleh terjejas, membawa kepada persekitaran kerja toksik yang menghalang kerjasama dan produktiviti. Ini akan memberi kesan negatif kepada produktiviti syarikat dan reputasinya. Justeru, mengekalkan dan menarik pekerja menjadi lebih sukar,” katanya.

MEF juga memuji inisiatif Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dilaksanakan melalui pelbagai agensi kerajaan dalam memastikan buli siber ditangani secara menyeluruh.

MEF juga berharap kerajaan dapat berunding dengan pihak berkepentingan bagi memastikan dasar baharu itu berkesan dalam memerangi ancaman ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan