AM > BERITA

HAJI MURAT, KARYA TERAKHIR TOLSTOY DIPENTASKAN D DBP BERMULA 26 JUN

15/06/2024 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Haji Murat, karya terakhir sasterawan Rusia Leo Tolstoy, akan dipentaskan selama empat hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, bermula 26 Jun depan. 

Karya yang berasal daripada novel pendek tulisan Tolstoy itu diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh penggiat sastera dunia Dr Victor Pogadaev dan disunting oleh Sasterawan Negara   Datuk Dr Anwar Ridhwan, sebelum diterbitkan oleh DBP pada 2001.

Dalam sidang media di sini semalam, Anwar yang juga penulis skrip teater itu, berkata karya tersebut berdasarkan kisah benar yang berlaku pada 1851, melibatkan pejuang Chechen bernama Haji Murat yang membentuk perikatan dengan Rusia yang pernah ditentanginya, kerana ingin membalas dendam.   

Karya ini mengangkat tema jihad dan perjuangan bangsa serta berkisar tentang keberanian, kesetiaan, dendam, pengkhianatan seorang pejuang yang berdepan dengan musuh bangsa dan musuh peribadinya. 

“Disebabkan saya terlibat dalam terjemahan ke bahasa Melayu, saya memahami mesej yang ingin disampaikan oleh karya ini, selain turut membetulkan beberapa ungkapan Tolstoy berkaitan amalan Islam,” katanya.

Tambahnya, beliau juga menyusun jalan cerita agar teater dapat dipentaskan dalam tempoh kira-kira dua jam, tanpa mengabaikan aspek-aspek penting.

Sementara itu, pengarah teater berkenaan A Wahab Hamzah berkata mereka mengetengahkan karya luar negara kerana masyarakat negara ini juga harus didedahkan kepada karya berkualiti yang dihasilkan oleh sasterawan tersohor dunia.

“Ini juga diharap dapat menggerakkan kegiatan sastera dalam negara,” katanya pada sidang media itu.

Ketua Pengarah DBP Dr Hazami Jahari pula berkata pihaknya akan menggiatkan usaha memindahkan karya terbaik sasterawan negara daripada bentuk teks kepada filem atau drama, agar dapat dinikmati oleh masyarakat dalam pelbagai wahana.

“Saya harap pementasan teater ini menjadi titik tolak yang penting untuk kita memastikan teater terus berkembang dan menjadi sesuatu yang dapat mencambahkan pemikiran masyarakat, selain memberikan peluang kepada anak-anak seni untuk terus aktif berkarya dan mengembangkan bakat mereka,” katanya.

Pementasan Teater Perdana Haji Murat yang diuruskan oleh Badan Budaya DBP itu melibatkan sekitar 100 pelakon termasuk nama-nama gah dalam seni teater seperti Che Kem, Dr Rusdeen Suboh dan Ard Omar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan