AM > BERITA

PENGUSAHA BAS SEKOLAH BOLEH RAYU BANTUAN SUBSIDI DIESEL - PM

15/06/2024 04:48 PM

BAGAN SERAI, 15 Jun (Bernama) -- Pengusaha bas sekolah dan syarikat yang tidak menerima subsidi susulan penyasaran subsidi diesel masih boleh merayu dan sekiranya layak, permohonan mereka akan dipertimbang. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memastikan semua golongan sasar yang layak akan menerima bantuan itu. 

"Kalau dia perlu dan memang untuk bas sekolah, kita bagi. Ya, boleh. Ada masa untuk merayu dan (kita akan) berikan tetapi kalau sengaja diambil peluang, kalau syarikat-syarikat besar, syarikat pelancongan yang untung besar, tak munasabah dapat subsidi.

"Subsidi ini (diberikan) kepada orang susah," katanya ketika berucap merasmikan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di sini hari ini. 

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, sekali lagi memberi amaran kepada pengusaha bas sekolah yang menerima subsidi tetapi menaikkan harga tambang bahawa lesen mereka akan ditarik.

Beliau berkata kerajaan turut mengambil maklum kebimbangan rakyat mengenai kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan susulan penyasaran subsidi diesel.

"Ada yang tanya, harga barang naikkah? Saya kata kita pantau.

"Ada orang anak naik bas sekolah, dia kata nak naik ke harga? Saya kata kita pantau, kita mahu semua yang layak dapat subsidi ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan