AM > BERITA

KERAJAAN PERPADUAN TIDAK PERNAH PERTAHAN PIHAK BERSEKONGKOL DENGAN REJIM ZIONIS ISRAEL

22/06/2024 12:01 AM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan Perpaduan tidak pernah mempertahan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan rejim zionis Israel, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan bekas Menteri Kabinet Khairy Jamaluddin yang mendakwa penglibatan BlackRock, sebuah firma yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel, memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan dalam isu keganasan Israel terhadap rakyat Palestin adalah jelas dan kita adalah yang paling lantang dalam mempertahan serta membela nasib rakyat di Palestin.

“Justeru menggelar Perdana Menteri sebagai rakan subahat zionis Israel dalam jenayah genosid adalah melampau dan biadap,” menurutnya dalam kenyataan hari ini. 

Muhammad Kamil berkata Khairy boleh mengkritik tetapi pada masa sama, beliau harus lebih bertanggungjawab, tidak hipokrit dan tidak terbawa-bawa dengan emosi dalam mengeluarkan kenyataan.

Beliau berkata MAHB melalui Khazanah sudah memberi penjelasan iaitu rundingan telah diadakan dengan pihak Global Infrastructure Partners (GIP) iaitu sebuah konsortium yang mengumumkan tawaran bagi mengambil alih MAHB pada 15 Mei lepas.

“BlackRock hanya muncul pada tahun ini apabila berhasrat mengambil alih pegangan saham GIP. Dalam hal ini, Khazanah mahupun KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) tidak pernah berunding dengan mana-mana wakil daripada BlackRock. 

“Khazanah dan KWSP tidak menjual MAHB kepada entiti asing sebaliknya terus meningkatkan pegangan sahamnya hingga 70 peratus. Malah aset strategik ini juga akan terus dimiliki negara melalui Golden Share oleh Kerajaan Malaysia,” katanya. 

GIP adalah pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai US$112 bilion bagi pihak pelaburnya yang merangkumi kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.

Ia juga memiliki kepakaran dalam pelaburan, pengurusan dan pengoperasian antara perniagaan infrastruktur terbesar serta paling rumit di dunia termasuk beberapa lapangan terbang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan