AM > BERITA

ANWAR TUNJUK POTENSI PEMIMPIN SEAWAL USIA 10 TAHUN - USTAZAH SALMAH

18/06/2024 02:25 PM

BUKIT MERTAJAM, 18 Jun (Bernama) -- Bekas guru agama kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu mempunyai ciri-ciri sebagai pemimpin sejak usia kanak-kanak lagi.

Salmah Abu Bakar, 84, berkata beliau mengajar pemimpin nombor satu negara itu di Madrasah Al-Ittihadiah Al-Wataniah Cherok Tok Kun semasa Anwar berumur 10 hingga 12 tahun. 

"Anwar memang menunjukkan potensi yang besar sebagai pemimpin seawal usia 10 tahun.

"Melihat perwatakan dan cara beliau berinteraksi dengan rakan-rakan (pada masa itu), memang terlintas di hati saya bahawa beliau mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemimpin apabila besar nanti.

"Beliau baik dan sentiasa menghormati orang lain. Saya mahu beri semangat kepadanya agar sentiasa berpegang kepada sifat-sifat Allah dan jangan putus asa," katanya kepada pemberita selepas Anwar menziarahinya di kediaman ustazah itu di Cherok Tok Kun di sini hari ini. 

Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di rumah Salmah pada 11.30 pagi dan meluangkan masa lebih kurang 20 minit, selepas menghadiri Program Korban Perdana Bersama Perdana Menteri di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan