AM > BERITA

PENYELAM MALAYSIA MAUT SEMASA BERSIHKAN KAPAL DI SINGAPURA

20/06/2024 03:40 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 19 Jun (Bernama) -- Seorang pekerja warga Malaysia berusia 22 tahun maut dalam kemalangan di tempat kerja semasa melakukan kerja-kerja pembersihan badan kapal di Eastern Anchorage, berhampiran East Coast, pada Selasa.

Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura berkata dalam kemalangan yang berlaku sekitar pukul 2.10 petang, mangsa telah tersangkut pada salah satu kipas bot sokongan penyelam.

"Pekerja itu telah dibawa ke Hospital Besar Singapura, dan dia meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

MOM sedang menyiasat kejadian itu dan telah mengarahkan majikan terbabit  untuk menghentikan semua aktiviti menyelam..

"Sebagai langkah keselamatan umum, prosedur menyelam komersial yang ditetapkan menggunakan ‘Surface-Supplied Diving Equipment’ (SSDE) atau ‘Commercial Self-Contained Underwater Breathing Apparatus’ (CSCUBA) mesti dipatuhi," kata jurucakap itu.

MOM berkata peralatan dan alat sedemikian memudahkan koordinasi dan komunikasi antara penyelam dan penyelia semasa operasi. Peralatan selam skuba rekreasi tidak boleh digunakan untuk operasi menyelam komersial.

Sementara itu, CNA melaporkan bahawa pihak polis berkata berdasarkan siasatan awal, tiada unsur jenayah disyaki dan siasatan sedang dijalankan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan