AM > BERITA

TAIWAN EXCELLENCE JALIN KERJASAMA DENGAN ARTIS TEMPATAN, PELAJAR PROMOSI KELESTARIAN

21/06/2024 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Taiwan Excellence yang diiktiraf sebagai mewakili produk terbaik Taiwan, memperluaskan inisiatif kelestariannya menerusi ciptaan artistik hasil kolaborasi dengan artis tempatan dan pelajar sekolah.

Menurut Taiwan Excellence dalam kenyataan, artis jalanan Malaysia terkenal Kenji Chai berserta 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) SS17, Subang Jaya, akan menghasilkan mural yang menampilkan Harimau Malaya dan Beruang Formosa Taiwan Excellence pada dinding kampus untuk menyampaikan mesej positif berkaitan pemuliharaan alam sekitar.

"Projek seni visual ini bertujuan menerapkan konsep kelestarian pada seni visual yang menonjol, menyampaikan idea pemuliharaan alam sekitar dan menambah seri ruang," menurut kenyataan itu.

Taiwan Excellence berkata projek tersebut merupakan tambahan kepada penyertaan dalam Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) bertemakan "Greener Together" sekali gus menunjukkan komitmen berterusannya terhadap masa depan yang lebih mampan.

Mural bersaiz 6.1 meter tinggi dan 8 meter lebar itu, dijangka siap dalam tempoh seminggu, hujung bulan ini.

Mereka yang tidak dapat melihat mural itu secara dilangsung, dialu-alukan untuk berkunjung ke Pavilion Taiwan Excellence di ARCHIDEX 2024 (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Dewan 2, Reruai 2L180) dari 3 hingga 6 Julai ini bagi mendapatkan maklumat lanjut. 

"Kenji Chai, yang terkenal dengan seni bertemakan alam sekitar dan haiwan, secara kreatif menggabungkan kelestarian dengan ciri-ciri tempatan Malaysia dalam mural terbaharunya. Mural yang dinanti-nantikan ini akan mengetengahkan haiwan ikonik tempatan seperti monyet belanda (proboscis monkey)," katanya.

Kenyataan itu menyebut ketika memulakan kerja-kerja melukis mural itu 19 Jun lepas, Chai menjelaskan bahawa beliau mahu menzahirkan semangat 'menghargai' dan 'keberanian' pada mural tersebut dan berharap karyanya akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menghargai alam sekitar dan benda-benda di sekeliling mereka.

"Reka bentuk rumit pada Harimau Malaya itu melambangkan pelbagai cabaran kehidupan yang dihadapi setiap individu dan untuk saling memberi galakan dan dorongan dalam berdepan apa jua kesulitan dengan keberanian dan kesungguhan," katanya. 

Sementara itu, menurut Taiwan Excellence, SMK SS17 menyasarkan untuk menerapkan sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar pada para pelajar sekali gus menjadikan mereka sebahagian daripada asas kukuh bagi membina ekosistem yang lestari pada masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan