EKONOMI > BERITA

MITI: RM103.54 JUTA PINJAMAN MUDAH DILULUSKAN UNTUK AUTOMASI, PEMODENAN SEHINGGA JUN 2024

24/07/2024 11:01 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Sejumlah RM103.54 juta dalam bentuk pinjaman mudah telah diluluskan oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) untuk tujuan automasi dan pemodenan 29 syarikat sehingga Jun 2024.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata pinjaman mudah ini mencerminkan pendirian kerajaan dalam memberi insentif agar industri tempatan mampu melaksanakan pengilangan pintar dengan teknologi Industri 4.0 (IR4.0) yang akan meningkatkan kecekapan pengeluaran dalam pembuatan.

Dari segi bakat, beliau menjelaskan teknologi baharu ini memerlukan pekerja yang mempunyai set kemahiran yang betul dan kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan saluran bakat yang mantap.

“Kejayaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan amat bergantung pada pembangunan kumpulan tenaga kerja yang betul berkaitan industri untuk memastikan perniagaan seperti anda, benar-benar dapat memanfaatkan teknologi IR4.0 bagi pertumbuhan mampan masa akan datang,” kata Tengku Zafrul. dalam ucaptama pada Anugerah Pembuatan Pintar Malaysia 2023 di sini hari ini.

MIDF merupakan agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

Menteri itu juga berkata Malaysia berhasrat untuk menjadi hab pembuatan pintar di rantau ini, seperti yang digariskan dalam NIMP 2030.

Salah satu projek berasaskan misinya ialah membangunkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030, katanya.

“Satu cara kami boleh buat ialah dengan memudahkan pelaburan langsung asing (FDI) dengan keupayaan pembuatan berteknologi tinggi sambil mengintegrasikan syarikat tempatan ke dalam rantaian bekalan firma multinasional,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak 2021 hingga suku pertama 2024, kira-kira RM162 bilion dalam nilai pelaburan digital telah diluluskan, mewujudkan lebih 49,108 peluang pekerjaan.

“Kami menjangkakan pelaburan digital ini turut memudahkan pemindahan teknologi kepada syarikat domestik atau lebih kecil,” kata Tengku Zafrul.

Anggaran terkini bagi suku kedua pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini ialah 5.8 peratus.

Tengku Zafrul mengaitkan pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh daripada jangkaan itu kepada pengembangan 4.7 peratus dalam sektor pembuatan selain peningkatan 8.4 peratus dalam jumlah perdagangan bagi separuh pertama 2024, yang mencecah hampir RM1.4 trilion.

“Hubungannya adalah jelas kepada saya bahawa pelaburan berasaskan teknologi akan membolehkan kapasiti pembuatan kami mendapat manfaat daripada hasil seperti kecekapan kilang yang dimaksimumkan, pengurusan risiko yang lebih baik, kawalan keselamatan dan kualiti yang cemerlang selain kecekapan tenaga yang lebih optimum.

“Ini akan menghasilkan eksport bernilai lebih tinggi yang akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan