AM > BERITA

USAHA KERAJAAN PERPADUAN KUKUHKAN HUBUNGAN MALAYSIA-CHINA LUAR BIASA

21/06/2024 04:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Pengukuhan hubungan strategik antara Malaysia dan China yang dilakukan Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai luar biasa berbanding yang dilakukan sebelum ini, kata Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Muhamad Azwan Abd Rahman.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengangkat hubungan antara kedua-dua negara yang terjalin sejak 50 tahun lalu ke suatu tahap erat berstrategi yang menjamin kedudukan Malaysia di persada antarabangsa antaranya dengan memberi penekanan terhadap kewujudan bersama secara aman.

"Melihat kepada realiti politik antarabangsa, kerjasama hidup aman dan damai saling berdampingan, ini sangat penting. Ia satu hubungan yang boleh membawa kebaikan ataupun nilai-nilai yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Selain itu, Muhamad Azwan berkata apabila kerajaan meletakkan China sebagai ‘hubungan strategik erat’, ia menjamin kedudukan Malaysia bersama negara-negara yang mempunyai kepentingan sama, khususnya dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta Inisiatif Peradaban Global (GCI).

Beliau berkata menerusi BRI, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pasti akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri-negeri Pantai Timur yang terlibat iaitu Kelantan, Terengganu serta Pahang daripada segi peningkatan pendapatan serta peluang pekerjaan.

"Perlu ada satu kerjasama di antara Malaysia, China, pihak sektor yang ketiga iaitu Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) serta peranan kerajaan negeri sendiri dalam mendedahkan manfaat kerjasama ini kepada masyarakat di kawasan tersebut," katanya.

Mengenai hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan), Muhamad Azwan menyifatkan keputusan yang dibuat Perdana Menteri itu sebagai satu tindakan yang bijak.

"Beliau (Anwar) pernah menjelaskan bahawa tidak mahu lihat kesan angkara kuasa barat dalam mengawal kita lagi. Kita negara yang bermaruah serta bebas dan BRICS merupakan salah satu proses untuk mengembalikan globalisasi timur," katanya.

Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974 menerusi Kenyataan Bersama yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China Chou En-Lai, ketika itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan