EKONOMI > BERITA

EPOMS, UMS DAN POLITEKNIK KOTA KINABALU BEKERJASAMA PERKASA BAKAT TEMPATAN

27/06/2024 11:43 PM

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) -- Peneraju utama dalam industri minyak dan gas Malaysia, E&P O&M Services Sdn Bhd (EPOMS) bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK) bagi memperkasakan bakat tempatan dalam industri minyak, gas dan tenaga di negeri ini.

Bagi tujuan itu, EPOMS dan pihak-pihak berkenaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dan Surat Niat (LoI) pada Persidangan dan Pameran Minyak, Gas & Tenaga Sabah (SOGCE) 2024, di sini hari ini.

Menerusi kerjasama itu, syarikat itu berkata ia akan memperkukuhkan pembangunan bakat tempatan, memastikan kelestarian pekerjaan, dan meningkatkan peranan kepimpinan dalam industri minyak dan gas.

"Inisiatif ini dijangka membuka peluang bermakna, memperkasa individu, dan menyumbang kepada masyarakat yang lebih inklusif dan mampan," kata EPOMS dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zulkarnain Ismail dan Ketua Pegawai Rakyat Muhamad Faizal Saidin mewakili EPOMS pada MoU itu, manakala UMS oleh Naib Canselor Prof. Datuk Kasim Mansor dan Pendaftar Luqman Ridha Anwar.

Sementara itu, PKK diwakili Timbalan Pengarah Akademik Abdul Razak Mohd Daim dan Ketua Perkhidmatan Industri Korporat dan Pusat Kebolehkerjaan (CISEC) Dr Jason William Vitales.

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun turut hadir menyaksikan MoU itu.

 Dalam pada itu, EPOMS turut memaklumkan ia meraih Kontrak Perkhidmatan Pengasingan Saluran Paip Dalam Talian selama tiga tahun daripada Unit Operasi Petronas (OPU) di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.

Ia juga dianugerahkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Aset Ladang Kecil Bambazon (SFA PSC) oleh Petronas di perairan Sabah pada Januari tahun ini.

"Daripada anugerah ini, kerjasama ini akan menjadi penting dalam mewujudkan peluang kerjaya untuk bakat tempatan meneroka industri ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan