AM > BERITA

KPDN SEDIA BAWA RAYUAN TRAK TUNDA - FUZIAH

21/06/2024 06:23 PM

PUTRAJAYA, 21 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) bersedia untuk membawa rayuan pengusaha trak oenunda kenderaan supaya diberi pertimbangan  mendapat subsidi diesel bagi mengurangkan beban kos operasi mereka.

 Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata rayuan itu akan diangkat segera untuk pertimbangan Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Diesel.

"Sudah tentu  tumpuan kementerian adalah terhadap barang perlu dan sedia berbincang dengan mana-mana pihak," katanya ketika ditemui selepas menerima memorandum daripada Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) yang mewakili pengusaha trak penunda kenderaan di seluruh negara.

Terdahulu pengasas PKIPN Joseph Prakash menerusi  memorandum berkenaan menuntut kerajaan memberi pertimbangan agar diberi subsidi diesel susulan penyasaran subsidi bahan bakar itu. 

Katanya, pengusaha trak penunda kenderaan sering kali merentasi jarak yang jauh di seluruh semenanjung Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan penting. 

“Harga diesel semasa telah menjadikan semakin sukar bagi mereka untuk mengekalkan operasi mereka.

“Situasi ini diburukkan lagi oleh kesukaran ekonomi yang dihadapi oleh ramai rakyat Malaysia, yang menghadkan kemampuan mereka untuk menanggung kos perkhidmatan tunda yang meningkat,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan lebih 1,000 pengusaha trak penunda kenderaan menggesa kerajaan mempertimbangkan perkhidmatan berkenaan dimasukkan dalam senarai 23 kategori kenderaan layak menerima bantuan diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Persatuan Trak Tunda dan Pengangkutan Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) mendakwa sejak penyasaran subsidi diesel pada 10 Jun lalu, kos operasi mereka naik sekali ganda susulan peningkatan harga diesel kepada RM3.35 seliter daripada RM2.15.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan