AM > BERITA

TASIK CHINI TAWAR PELANCONGAN BERASASKAN PENDIDIKAN

23/06/2024 04:11 PM

PEKAN, 23 Jun (Bernama) -- Destinasi pelancongan alam semula jadi Tasik Chini di sini yang terjejas suatu ketika dahulu kini sedia menerima lebih ramai pengunjung menerusi penawaran pakej pelancongan berasaskan pendidikan (edu-tourism).

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata beberapa pakej pelancongan ditawarkan menerusi Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) yang menyasarkan pengunjung terdiri pelajar sekolah dan universiti. 

Di samping pelaksanaan pelan pembangunan Tasik Chini yang dijangka siap pada Oktober, beliau berkata promosi pelancongan berasaskan pendidikan ini dilaksanakan bagi mengembalikan kegemilangan Tasik Chini yang pernah popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara. 

"Pengunjung boleh mendapatkan kemudahan disediakan di sini menerusi pakej dan aktiviti berasaskan pendidikan. Kita galakkan pihak universiti dan sekolah adakan program di sini untuk belajar tentang alam semula jadi dan melihat keunikan yang ada," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Libat Urus: Penyediaan Pelan Pembangunan Pengurusan Tasik Chini Rizab Biosfera anjuran Perbadanan Taman Negeri Pahang yang disertai 18 agensi dan empat perkampungan Orang Asli di PPTC di sini hari ini. 

Antara aktiviti tersedia termasuk pengunjung akan didedahkan dengan gaya hidup dan budaya orang asal, alam semula jadi seperti tumbuhan serta haiwan sekitar pusat pelancongan itu selain pengetahuan mengenai pengurusan dan keselamatan dalam air. 

Leong berkata pihaknya sentiasa berusaha untuk merancakkan lagi destinasi pelancongan berkenaan antara lain dilihat dapat membantu menjana pendapatan penduduk setempat.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan