AM > BERITA

PERKESO TERENGGANU SASAR 12,000 PENDAFTARAN SKSPS TAHUN INI

23/06/2024 03:58 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu  menyasarkan 12,000 pendaftaran di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di negeri itu tahun ini.

Pengarah berkenaan Farihah Che Husin berkata 6,000 individu bekerja sendiri telah mendaftar di bawah skim tersebut bagi tahun ini yang membolehkan mereka mendapat pelbagai manfaat antaranya faedah hilang upaya sementara dan kekal, faedah orang tanggungan, faedah perubatan serta kemudahan pemulihan jasmani dan vokasional, mengikut pelan yang diambil.

"Tahun lepas Perkeso menetapkan sasaran 8,000 pendaftaran di bawah SKSPS dan hasil pelbagai kempen kesedaran dibuat, kita berjaya mencapai angka tersebut," katanya selepas menghadiri Taklimat Perlindungan Perkeso Kepada Pengamal Media Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Seramai 40 pengamal media termasuk daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama)  menyertai taklimat tersebut yang turut diselitkan dengan program pendaftaran SKSPS bagi pemberita sambilan.

Dalam pada itu Farihah berkata sejumlah RM100,000 dibayar kepada suri rumah yang layak di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang diperkenalkan pada 2022.

Beliau berkata pembayaran faedah tersebut melibatkan kes kematian dan kemalangan yang berlaku di rumah dan luar kediaman antaranya kecederaan akibat terkena air dan minyak panas serta kemalangan ketika ke pasar.

Katanya setakat Mei lepas, 300 suri rumah di Terengganu telah mendaftar di bawah SKSSR.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan