AM > BERITA

PENYASARAN SUBSIDI PERKUKUH KEDUDUKAN FISKAL, LAKSANA PEMBAHARUAN UNTUK RAKYAT - SENATOR

24/06/2024 12:08 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Penyasaran subsidi diesel mampu mengukuhkan kedudukan fiskal negara sekali gus membantu kerajaan melaksanakan pembaharuan untuk kepentingan rakyat, kata Ahli Dewan Negara.

Senator Mohd Hasbie Muda berkata kerajaan telah membelanjakan sejumlah besar untuk menampung subsidi dan secara purata kerajaan membelanjakan RM25 bilion hingga RM30 bilion setahun dalam 10 tahun untuk tujuan itu.

“Adakah kerajaan mampu kalau kita terpaksa berhutang sebanyak RM70 bilion ke RM100 bilion setahun untuk pemberian subsidi? Pendapat saya, pemberian subsidi hanya bagi negara yang mempunyai bajet lebihan.

“Orang kata, kita negara yang keluarkan minyak dan boleh dapat untung, namun kita tidak seharusnya terus bergantung kepada kelebihan yang kita ada hanya untuk kita wajarkan yang kita perlu berikan subsidi kepada rakyat, kita harus mulakan penyelarasan subsidi dan biarlah mereka yang benar-benar layak menerimanya,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Reaksi di Bernama Radio pada Isnin.

Beliau berkata menerusi penyasaran subsidi, kerajaan boleh memberi manfaat kepada keperluan yang lebih terdesak seperti perbelanjaan kepada sektor kesihatan.

“Kita (kerajaan) belanja jumlah besar untuk sektor kesihatan, kalau kita mahu meningkatkan kualiti kesihatan, kita harus menambah jumlah perbelanjaan pada sektor kesihatan, pendidikan, membaiki kualiti kedua-dua sektor penting negara.

“Oleh itu, penjimatan daripada penyasaran subsidi akan membantu usaha kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penjimatan yang dianggarkan sebanyak RM4 bilion daripada penyasaran subsidi diesel dijangka memberi ruang fiskal yang lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan kualiti pelbagai perkhidmatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat.

Penyasaran subsidi diesel adalah langkah ketiga dilaksanakan kerajaan bagi menstrukturkan semula agihan subsidi negara, selepas tarif elektrik dengan penjimatan RM4.5 bilion dan pengapungan harga ayam dan telur RM1.2 bilion.

Harga diesel diselaraskan mengikut pasaran semasa bermula 10 Jun, dengan harga permulaan di semua stesen runcit petrol di Semenanjung Malaysia, ditetapkan pada RM3.35 seliter.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan