AM > BERITA

BEKAS PENSYARAH ANTARA LAPAN DITAHAN DISYAKI TERLIBAT KEGIATAN EKSTREMISME, DAESH

24/06/2024 06:23 PM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Seorang bekas pensyarah antara lapan individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana disyaki terlibat kegiatan ekstremisme dan elemen radikalisme Daesh dan Islamic State (IS), dalam operasi serentak di empat negeri pada 22 dan 23 Jun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata enam lelaki dan dua wanita tempatan berusia 25 hingga 70 tahun itu, ditahan di Kelantan, Johor, Pulau Pinang dan Selangor.

“Siasatan awal PDRM terhadap kesemua suspek turut mendapati bahawa wujud ancaman terhadap Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan pimpinan tertinggi PDRM.

“Selain itu, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan-lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan golongan profesional terpelajar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan selama 28 hari mengikut mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Ditanya sama ada kesemua suspek mempunyai talian persaudaraan, Saifuddin Nasution berkata persamaan kesemua suspek itu ialah mereka memegang ideologi yang sama.

“Ia satu idealisme, satu pegangan dan kepercayaan dia bertolak dari satu keyakinan bahawa kepimpinan negara ini tidak berteras kepada sistem khalifah misalnya.

“… apabila keadaan itu tidak wujud maka wajarkan tindakan untuk memerangi pemerintah, itu antara sebahagian tanda pegangan kumpulan ini,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan, ketika ini dikesan menyalahgunakan perkembangan teknologi moden serta menjadikan media sosial sebagai salah satu medium menyebarkan fahaman yang membahayakan.

“Kerajaan Malaysia bertegas bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjadi penghasut, pelaku, penyokong dan pemberi simpati buat elemen ekstremisme, radikalisme dan keganasan di negara ini. 

“Pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang paling berat ke atas golongan ini,” katanya. 

Saifuddin Nasution berkata kerajaan memberi jaminan bahawa masyarakat umum tidak perlu berasa gusar terhadap tahap keselamatan dan ketenteraman awam di Malaysia. 

“Hal ini didorong oleh kecekapan dan ketangkasan PDRM menangkis ancaman ekstremisme, radikalisme dan keganasan pada peringkat awal, yang menjadi manifestasi kesiapsiagaan dan kompetensi pasukan dalam mendepani sebarang ancaman pada setiap masa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan