AM > BERITA

RUU PIHAK BERKUASA PENERBANGAN AWAM (PINDAAN) 2024 DIBENTANG BACAAN KALI PERTAMA

24/06/2024 07:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) (Pindaan) 2024 dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari, antara lain untuk memindahkan segala fungsi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) kepada CAAM. 

Rang undang-undang bagi meminda Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788) itu dibentang Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Menurut Hasbi, bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang itu dijadual dibentangkan pada mesyuarat yang sama.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu dipinda untuk memindahkan segala fungsi MAVCOM berhubung pengawalseliaan hal ehwal ekonomi dan komersial berkaitan dengan industri penerbangan awam di negara ini kepada CAAM disebabkan oleh pembubaran MAVCOM.

Dengan pindaan ini, CAAM menjadi badan kawal selia tunggal berkaitan dengan industri penerbangan awam di Malaysia.

Selain itu, pindaan turut melibatkan Seksyen 16(1) Akta 788 untuk memasukkan fungsi baharu berkaitan perkara ekonomi antara lain termasuklah memperbaiki perhubungan di peringkat global dan tempatan supaya dapat menggalakkan pertalian ekonomi, integrasi dan pertumbuhan, perdagangan, pelaburan serta pelancongan.

Dalam seksyen sama, pindaan itu bertujuan bagi menggalakkan persaingan yang berkesan dalam industri penerbangan awam dengan menggalakkan suatu persekitaran ekonomi yang membenarkan syarikat penerbangan Malaysia mengekalkan keupayaan untuk bersaing dengan berkesan dalam pasaran penerbangan awam melalui cara yang menguntungkan, cekap dan adil yang mampan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan pengendalian aerodrom dan perkhidmatan pengendalian darat yang cekap, ekonomi dan menguntungkan serta menggalakkan pelaburan yang tepat pada waktunya dalam industri penerbangan awam bagi memenuhi permintaan dan keperluan pembangunan Malaysia.

Terdahulu, Hasbi turut membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) (Pembubaran) 2024 bagi bacaan kali pertama.

Rang undang-undang itu bertujuan untuk memansuhkan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771), bagi membubarkan suruhanjaya yang ditubuhkan di bawah akta itu.

Ia juga bertujuan bagi mengadakan peruntukan bagi peletakhakan hartanya kepada CAAM yang ditubuhkan di bawah Akta 788 dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.

Menurut naskah biru, rang undang-undang itu juga bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi penurunan kuasa, hak, kewajipan, liabiliti dan obligasi MAVCOM kepada CAAM. 

Selain itu, rang undang-undang itu juga bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pemindahan semua perjanjian, surat ikatan, dokumen dan surat cara lain yang sedia ada daripada MAVCOM kepada CAAM.

Hasbi berkata bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang itu dijangka dibentang pada mesyuarat yang sama.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan