AM > BERITA

SULTAN SELANGOR ZAHIR RASA DUKACITA KEJADIAN TABUNG MASJID DICURI

25/06/2024 04:11 PM

SHAH ALAM, 25 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita berhubung kejadian kecurian tabung masjid di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, di sini baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda turut menzahirkan rasa murka terhadap pelaku yang tergamak mencuri hasil sumbangan dan sedekah orang ramai untuk kesejahteraan umat Islam di kariah tersebut. 

Sultan Sharafuddin mengingatkan bahawa mencuri adalah perbuatan keji dan merupakan dosa besar khususnya apabila melibatkan kebajikan untuk golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak-anak yatim.

Baginda juga menzahirkan kekecewaan terhadap pihak pengurusan Masjid Tengku Ampuan Jemaah kerana tidak melaporkan kejadian itu secara rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Sultan Sharafuddin bertitah supaya pengurusan masjid mengambil langkah-langkah pencegahan awal yang lebih berkesan seperti mengetatkan kawalan keselamatan dan memastikan kamera litar tertutup di masjid itu berfungsi dengan baik. 

“Baginda berharap kejadian kecurian tabung masjid sebegini dapat dibendung dan tidak akan berlaku lagi di mana-mana masjid dan surau khususnya di negeri Selangor,” menurut hantaran itu. 

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan