EKONOMI > BERITA

ITC DAN MYBHA JALIN KERJASAMA TINGKATKAN TAWARAN PENGINAPAN MESRA MUSLIM DI MALAYSIA

29/06/2024 12:22 AM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU), untuk meningkatkan tawaran penginapan mesra Muslim di seluruh negara.

MyBHA dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu sebagai langkah penting untuk memperkukuh sektor pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim di Malaysia.

Menurut MyBHA MoU tersebut, menggariskan komitmen ITC untuk menyediakan latihan menyeluruh mengenai Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) kepada ahli MyBHA.

“Inisiatif ini bertujuan untuk membimbing ahli MyBHA untuk mendapatkan Pengiktirafan Pelancongan Dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) daripada ITC.

“Pengiktirafan ini akan mengesahkan komitmen mereka untuk memenuhi keperluan unik pelancong Muslim, sekali gus memupuk persekitaran pelancongan yang lebih inklusif dan mesra di Malaysia,” katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah ITC Nizran Noordin berkata kerjasama tersebut satu langkah penting dalam mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka.

Beliau berkata membekalkan ahli MyBHA dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan melalui latihan MFTH, pihaknya berhasrat memastikan pelancong Muslim berasa selesa sepanjang penginapan mereka di Malaysia.

Dalam pada itu Presiden Nasional MyBHA Dr Sri Ganesh Michiel berkata persatuannya, komited untuk meningkatkan kualiti dan inklusiviti perkhidmatan penginapan di Malaysia.

“MoU ini bukan sahaja memberikan peluang kepada ahli kami untuk meningkatkan standard mereka dan kekal relevan di pasaran, tetapi juga selaras dengan matlamat kami untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancong Muslim,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan