AM > BERITA

MALAYSIA, UNDP BANGUNKAN KERANGKA DAN MODEL EKONOMI HIJAU NEGARA

25/06/2024 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia dan United Nations Development Programme (UNDP) sedang bekerjasama untuk membangunkan satu kerangka dan model ekonomi hijau berdasarkan perspektif negara, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib. 

Beliau berkata model ini bertujuan untuk mengenal pasti garis dasar ekonomi semasa dengan mengambil kira faktor iklim dan menyediakan analisis tentang kesan risiko perubahan iklim dan dasar yang boleh digunakan sebagai input bagi perancangan di peringkat makroekonomi.

“Ini sekali gus menyasarkan pembangunan sosioekonomi negara yang lebih menyeluruh dan mampan pada masa depan.

“Melalui kajian ini, elemen pengukuran prestasi ekonomi hijau akan diberi perhatian,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab isu mengenai Keperluan Dasar Prestasi Ekonomi dan Modal Hijau yang dibangkitkan oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar). 

Justeru, katanya semua pihak berkepentingan perlu mengambil tanggungjawab bersama dalam memastikan negara mencapai aspirasi pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Di pihak kerajaan, katanya usaha berteraskan inisiatif hijau telah dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10) dan diteruskan sehingga RMKe-12.

Beliau berkata pihak MoF boleh memainkan peranan yang signifikan dalam menguar-uarkan sumber dan inisiatif sedia ada serta membantu memudah cara pihak industri mendapatkan sumber tersebut. 

Antara sumber pembiayaan dan inisiatif yang menyokong pertumbuhan ekonomi hijau ialah Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara berjumlah RM2 bilion dan dana pembiayaan oleh institusi kewangan dengan nilai keseluruhan RM200 bilion untuk mendorong industri beralih ke arah ekonomi rendah karbon.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan