AM > BERITA

SEKTOR PERIKANAN NEGARA PERLU LEBIH BANYAK INOVASI FDA

26/06/2024 04:41 PM

KUALA NERUS, 26 Jun (Bernama) -- Sektor perikanan negara memerlukan lebih banyak inovasi bagi alat peranti pengumpulan perikanan (FDA) untuk memastikan kelestarian sumber laut, kata Pensyarah Kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Dr Mohd Fazrul Abd Aziz.

Mohd Fazrul berkata mengikut data perangkaan perikanan pada 2022, jumlah tangkapan marin yang direkodkan menurun kepada 1.30 juta tan matrik, berbanding 1.33 juta pada 2011.

Beliau berkata menurut data itu juga, 34 peratus hasil tangkapan disumbangkan oleh kawasan Zon A; Zon B (25 peratus); Zon C (28 peratus); Zon C2 (12 peratus) dan Zon C3 (satu peratus).

"Data ini menunjukkan kawasan laut pantai iaitu Zon A hingga Zon C menyumbang sebanyak 88 peratus kepada hasil tangkapan ikan negara, sementara laut dalam, Zon C2 dan C3, tangkapan hanya 12 peratus.

"Di sini jelas bahawa kebergantungan perikanan kepada laut pantai lebih tinggi berbanding laut dalam. Malah Zon A juga merupakan zon penampan yang amat penting dalam kelestarian sumber perikanan," katanya dalam kenyataan hari ini.          

Sehubungan itu, Mohd Fazrul berkata pembangunan inovasi FDA seperti bubu dan unjam amat penting  bagi memastikan stok perikanan di kawasan laut pantai tidak terkesan sehingga boleh mengakibatkan ketirisan sumber dalam jangka masa panjang.

Menurut beliau, kerjasama antara pemegang taruh utama seperti Jabatan Perikanan, Maritim, penggubal polisi, nelayan dan penyelidik amat penting bagi memastikan inovasi yang dihasilkan bukan sahaja dapat meningkatkan hasil tangkapan, lebih penting ialah memulihkan habitat perikanan yang terkesan disebabkan pelbagai faktor.

Mohd Fazrul menyatakan bahawa mengikut data perangkaan perikanan, jumlah pendaratan ikan baja telah meningkat kepada 242,069 tan matrik berbanding 229,722 tan matrik pada 2021.

"Data ini menunjukkan ada antara peralatan perikanan atau FDA terlalu berkesan sehingga tidak mampu mengasingkan antara tangkapan sampingan dan ikan matang.

"Sekiranya trend ini terus berlaku, stok perikanan lama kelamaan akan terkesan sekali gus menyebabkan ketirisan sumber pada masa depan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fazrul berkata UMT juga sedang giat menjalankan kajian dan membangunkan inovasi FDA melalui geran Program Inovasi Bubu dan Unjam Untuk Meningkatkan Pendapatan Masyarakat MADANI.

Beliau yang juga ketua projek tersebut berkata geran bernilai RM48,800 itu dianugerahkan oleh Kementerian Kewangan  (MOF) untuk membantu meningkatkan hasil golongan nelayan.

"Geran ini bersifat serampang dua mata iaitu menjalankan kajian dan penyelidikan dari sudut sains serta membantu ekonomi nelayan yang menjadi pemegang taruh utama sektor perikanan negara," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata selain pembangunan inovasi FDA, penjarahan sumber marin perlu dijalankan secara berhemah dan dikawal dengan berkesan oleh pihak berkuasa bagi memastikan kelestarian sumber untuk generasi akan datang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan