AM > BERITA

DEWAN RAKYAT LULUS RUU PIHAK BERKUASA PENERBANGAN AWAM MALAYSIA (PINDAAN) 2024

26/06/2024 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 bagi meminda Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 (Akta 788).

Ia antara lain bagi memindahkan fungsi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang akan dibubarkan, kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). 

Rang undang-undang yang dikemukakan Menteri Pengangkutan Anthony Loke itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahaskan enam Ahli Parlimen.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Loke menyatakan komitmen untuk memastikan proses penggabungan badan kawal selia industri penerbangan Malaysia itu berjalan lancar sebelum pindaan rang undang-undang berkenaan berkuat kuasa.

“Komitmen ini saya diberikan dalam Dewan (Rakyat) ini bahawa saya tidak akan terburu-buru untuk menguatkuasakan pindaan ini selagi belum selesai lagi proses penggabungan (MAVCOM dan CAAM) secara teratur dan tertib.

“Ini bagi memastikan perjalanan industri penerbangan awam kita dapat berjalan lancar,” katanya. 

Terdahulu, ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua, Loke berkata penggubalan rang undang-undang berkenaan telah melalui proses perundangan yang komprehensif melibatkan pihak berkepentingan seperti Kementerian Pengangkutan, CAAM, MAVCOM dan Jabatan Peguam Negara seawal Jun tahun lepas.

Katanya satu Pasukan Petugas Khas telah dibentuk bagi membincangkan secara terperinci mengenai struktur, fungsi, bidang kuasa, implikasi perjawatan, kewangan, bayaran pampasan dan perundangan susulan pembubaran MAVCOM dan pemindahan fungsi MAVCOM kepada CAAM.

“Dalam entiti baharu selepas penggabungan, CAAM akan dilengkapi dengan ahli-ahli profesional dan pakar-pakar yang mempunyai latar belakang yang lebih luas, umpamanya dalam bidang ekonomi, perundangan dan pentadbiran awam malah hubungan antarabangsa dan sebagainya.

“Matlamat kerajaan adalah untuk membina sebuah institusi kawal selia penerbangan awam yang lebih komprehensif dan mampu menaikkan lagi nama baik Malaysia di mata dunia khususnya dalam sektor udara,” katanya.

Selain itu Loke berkata lantikan tetap dan lantikan kontrak di bawah MAVCOM yang dikenal pasti melaksanakan fungsi teras berkaitan hal ehwal ekonomi dan komersial serta melaksanakan fungsi yang memerlukan kompetensi dan kepakaran dalam bidang profesional teknikal, akan ditawarkan untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam berdasarkan kepada perjawatan yang akan diwujudkan di bawah CAAM.

“Kerajaan juga akan memastikan gaji dan faedah kakitangan MAVCOM yang diserapkan ke dalam CAAM adalah mengikut pasaran dan dalam hal ini, organisasi CAAM sedang distruktur semula bagi membolehkan CAAM melaksanakan semua fungsi MAVCOM yang dipindahkan dan perinciannya akan dibincangkan dan dirujuk dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelulusan,” katanya. 

Beliau berkata inisiatif untuk penggabungan badan pengawalseliaan penerbangan awam di bawah satu entiti bukan sahaja dapat mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan sedia ada, malah dapat meningkatkan kecekapan tadbir urus serta kualiti penyampaian perkhidmatan.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan