AM > BERITA

KERAJAAN PERUNTUK RM10 JUTA UNTUK PELAUT TINGKAT PENDIDIKAN

29/06/2024 05:56 PM

GEORGE TOWN, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) memperuntukkan RM10 juta kepada pelaut untuk golongan itu meningkatkan pendidikan dan memperoleh sijil tauliah dalam pelbagai peringkat tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata peruntukan itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kemahiran pelaut dan mengiktiraf pengorbanan mereka terhadap sektor ekonomi global di lautan.

"Buat pertama kali tahun ini kerajaan melalui PTPK di bawah Kementerian Sumber Manusia telah memperuntukkan RM10 juta untuk pemohon (pelaut) memohon Sijil Kecekapan (COC) dalam sarjana,  pegawai, pengendali radio Global Maritime Distress and Safety Sytstem (GMDSS), penilaian dan COC lain yang berkaitan.

"Pelaut yang berminat boleh memohon melalui Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL) untuk mendapat manfaat daripada inisiatif itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Hari Pelaut dan Rumah Api di Straits Quay di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia Kapten Mohamad Halim Ahmed dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Dr Nor Fuad Abdul Hamid.

Loke berkata kementeriannya sedang memperkenalkan kepada anak muda berkaitan bidang perkapalan dan maritim.

Beliau berkata negara mempunyai persisir pantai yang panjang dan pelbagai aktiviti ekonomi berlaku di lautan seperti kapal kargo, kapal penumpang, feri dan kapal persiaran malah terdapat banyak industri sokongan aktiviti maritim termasuk di pelabuhan serta sebagainya.

"Di negara kita mereka yang terlibat dalam profesion pelaut tidak berapa ramai, sekitar 11,000 orang sahaja yang aktif. Memang tujuan dan harapan kita perkenal profesion ini kerana sebenarnya banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai terutama golongan muda.

"Sebab itu kita bawakan (anjur) karnival hari ini kepada orang ramai sebab kami nak bagi pendedahan, sebenarnya pelaut memainkan peranan yang utama dalam ekonomi global," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan