AM > BERITA

LEBIH 300,000 DIJANGKA HADIR PROGRAM MADANI RAKYAT 2024 ZON TIMUR

29/06/2024 09:02 PM

KUANTAN, 29 Jun (Bernama) -- Lebih 300,000 pengunjung dijangka membanjiri Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur yang akan diadakan di Dataran Sayangi Kuantan pada 5 hingga 7 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri Datuk Amizar Abu Adam berkata jangkaan itu berdasarkan pelbagai tarikan dan aktiviti anjuran agensi daripada kerajaan Persekutuan serta negeri termasuk lebih 1,700 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya. 

“Pengisian program antaranya penyampaian bantuan kerajaan dan lain-lain perkhidmatan jabatan kerajaan, tawaran pengurangan sebanyak 50 peratus saman trafik serta persembahan artis popular tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah , DJ Dave, Siti Nordiana dan Aina Abdul.

“Sesi ceramah juga akan diadakan dengan melibatkan penceramah Datuk Badli Shah Alauddin dan Prof Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail," katanya dalam temu bual menerusi Pahang FM hari ini.

Amizar berkata bagi memastikan kelancaran trafik, kerajaan negeri akan menyediakan bas ulang-alik percuma setiap 15 minit di Stadium Darul Makmur dan Serambi Teruntum.

Program MADANI Rakyat Zon Timur 2024 dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Julai.

Selain usaha kerajaan menyediakan perkhidmatan terus kepada rakyat, program berkenaan dapat mewujudkan saluran komunikasi berterusan antara masyarakat dengan kerajaan, sekali gus memperkukuh hubungan dalam usaha membina negara yang lebih sejahtera selaras agenda Malaysia MADANI.

Maklumat lanjut berkaitan program, layari portal https://malaysiamadani.gov.my. 

  -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan