AM > BERITA

RUU MAJLIS MEDIA MALAYSIA DIJANGKA DIBENTANG PADA MESYUARAT KETIGA PARLIMEN KE-15

02/07/2024 07:43 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia dijangka dibentang pada sidang Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen ke-15, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching. 

Beliau berkata ketika ini, Kementerian Komunikasi dalam peringkat akhir untuk memuktamad kandungan rang undang-undang itu bersama Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia yang terdiri daripada wakil industri media, ahli akademik dan pihak awam.

“Hal ini adalah bagi memastikan peruntukan-peruntukan yang dipersetujui dalam kandungan rang undang-undang tersebut adalah jelas serta memastikan penubuhan majlis media itu kelak memenuhi objektif utama yang disasarkan,” katanya.

Teo berkata demikian pada sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 2021 dan 2022 bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pada Mei lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah meminta Kementerian Komunikasi merujuk rang undang-undang itu kepada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk Analisis Impak Peraturan (RIA). 

Teo berkata selepas kandungan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia dimuktamad dan proses RIA diselesaikan, draf akan dikemukakan kepada AGC untuk semakan selanjutnya.

“Seterusnya kementerian akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi pembentangan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia di Parlimen setelah semakan oleh AGC selesai dilaksanakan,” katanya.

Penubuhan Majlis Media Malaysia adalah bagi membangun dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara serta memastikan pelaporan berita dilakukan oleh media secara bertanggungjawab.

Ia turut berfungsi menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang awam selain menyokong pembangunan profesional wartawan serta organisasi media.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan