AM > BERITA

PROJEK PEMBANGUNAN PERLU DILENGKAPI NILAI BUDAYA YANG BERSEMANGAT - PM

03/07/2024 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Para pemaju, arkitek, perancang dan pembuat dasar digesa agar memastikan setiap projek pembangunan yang mereka laksanakan dilengkapi nilai budaya yang bersemangat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kepelbagaian dan kekayaan warisan budaya adalah perkara yang perlu dipertimbang sewaktu perancangan serta pembinaan sebarang pembangunan.

"Kelompok Orang Asli, Melayu, Cina serta India adalah sebahagian daripada masyarakat di negara ini dan jika anda lihat di Sabah dan Sarawak, anda akan menyaksikan kehebatan nilai budaya yang bersemangat dalam kalangan etnik Dayak, Kadazan serta Murut. Adalah sesuatu yang memalukan jika kita tidak berusaha untuk menampilkan ciri-ciri ini sama ada ketika perancangan, rekaan atau pembinaan.

"Jadi adalah penting untuk memastikan ia bersemangat dari segi budaya, moden dari segi teknologi namun mesra alam sekitar dengan mengambil kira keperluan semua sektor supaya anda tidak mengulangi kisah A Tale of Two Cities - satu sektor bagi golongan kaya, satu sektor bagi golongan miskin," katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran Mesyuarat Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) serta Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Pembinaan Antarabangsa ke-23 (ARCHIDEX) 2024 di sini hari ini.

Anwar berkata cabaran untuk mengekalkan kelebihan daya saing dalam industri pembinaan dan perumahan merangkumi pelbagai faktor yang kompleks termasuk inovasi teknologi, kecekapan kos, ketersediaan tenaga kerja mahir, pematuhan peraturan serta permintaan yang turun naik dalam pasaran. 

Beliau berkata kerajaan turut menggalakkan perkongsian awam-swasta dengan mempromosi kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta untuk bersama-sama membangunkan infrastruktur dan projek perumahan. 

Perdana Menteri juga berkata langkah ini mampu memanfaatkan kekuatan dan sumber kedua-dua sektor untuk pelaksanaan pembangunan yang berkualiti tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan