AM > BERITA

SELANGOR PERUNTUK RM5 JUTA BERSIH PARIT, LONGKANG TIDAK BERTUAN

09/07/2024 03:29 PM

SHAH ALAM, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor memperuntukkan RM5 juta bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan parit dan longkang tidak bertuan di seluruh negeri ini tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata peruntukan secara sekali beri itu akan melibatkan kerja pembersihan longkang dan parit tidak bertuan sepanjang lebih 300 kilometer yang dilaksanakan dalam dua fasa, dengan setiap fasa membabitkan kos RM2.5 juta.

Beliau berkata fasa pertama melibatkan pembersihan longkang dan parit tidak bertuan yang dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor sepanjang 162km, manakala fasa kedua meliputi parit dan longkang yang dikenal pasti oleh Jabatan Kerja Raya Selangor, pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Tanah dan Daerah.

Izham berkata demikian ketika menjawab soalan Rosnizan Ahmad (PN-Morib) berkaitan ketetapan penyelenggaraan parit tidak bertuan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Selangor juga sedang menyiapkan kertas dasar berhubung penyerahan milikan parit dan longkang tidak bertuan kepada agensi berkaitan. 

"Syor sudah diluluskan dan kertas dasar perlu disiapkan sebelum akhir tahun ini supaya peruntukan dapat disediakan untuk mereka menguruskan (penyelenggaraan) secara berkala tahun hadapan," katanya.   

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan