AM > BERITA

PINTU PAGAR BALAI POLIS: TINDAKAN PUTAR BELIT KENYATAAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB - SAIFUDDIN

10/07/2024 07:03 PM

MARANG, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan pihak yang memutar belit kenyataannya berhubung isu penutupan pintu pagar balai polis pada 10 malam sebagai sangat tidak bertanggungjawab. 

"Semalam saya sebut tutup pintu pagar. Bukan tutup balai. Kalau ada orang nak buat aduan mesti petugas akan buka pagar. Ia tidak kompromi tugas balai untuk terima aduan, tapi dia punya spin itu sangat tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, di sini hari ini. 

Semalam di Parlimen Saifuddin berkata pintu pagar balai polis di seluruh negara ditutup selepas pukul 10 malam sebagai langkah keselamatan berikutan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan hari ini berkata laporan polis masih boleh dibuat walaupun pagar balai polis ditutup selepas 10 malam sebagai langkah memperketatkan kawalan dan keselamatan.

KDN memaklumkan jawapan Menteri Dalam Negeri di Dewan Rakyat semalam secara prinsipnya merujuk kepada garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman. 

"Tentunya tidak munasabah apabila kenyataan itu ditafsirkan semula oleh sesetengah pihak sebagai 'tutup pagar' secara total sedangkan pihak polis bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam," menurut kenyataan itu. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain semasa dihubungi semalam, berkata penyampaian perkhidmatan polis masih berjalan seperti biasa dan orang ramai tetap boleh membuat aduan dan laporan walaupun pintu pagar ditutup.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan