AM > BERITA

SELANGOR KUTIP RM38 JUTA HASIL CAJ 20 SEN UNTUK BEG PLASTIK

10/07/2024 08:58 PM

SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor mengumpul sebanyak RM38 juta hasil daripada caj 20 sen untuk setiap beg plastik yang dilaksanakan sejak 2020 hingga tahun lepas, kata Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri Jamaliah Jamaluddin.

Jamaliah berkata wang kutipan itu disalurkan kembali sebagai peruntukan untuk penganjuran program kelestarian oleh kerajaan negeri bagi mendidik rakyat mencintai dan memelihara alam sekitar.

“Hasil kutipan itu, kita salurkan kembali untuk laksanakan program seperti Karnival Alam Sekitar Peringkat Negeri Selangor 2024 pada 20 dan 21 Julai ini, kerja pemasangan lampu solar, Program Pokok untuk Pendidikan, Sambutan Hari Bumi dan Projek Kebun Komuniti,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media pengumuman penganjuran Karnival Alam Sekitar Peringkat Negeri Selangor 2024 yang akan diadakan di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya.

Jamaliah berkata menerusi program itu juga, kerajaan negeri akan menjalankan dapatan untuk mengumpul pandangan orang awam bagi kenaikan caj setiap beg plastik di Selangor.

“Ada pihak membangkitkan sama ada perlu menaikkan harga beg plastik, namun kerajaan Selangor ingin mendapatkan pandangan rakyat menerusi karnival ini,” katanya.

Bertemakan “Kempen Bebas Plastik”, Jamaliah berkata karnival itu bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam usaha mengurangkan penggunaan dan penghasilan sisa plastik dalam kehidupan seharian selain mengamalkan budaya hidup lestari. 

“Sempena karnival ini sebanyak 29 reruai terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, peniaga kecil dan pihak swasta menawarkan pelbagai pameran serta bengkel interaktif berkaitan kesedaran alam sekitar,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan