AM > BERITA

SULTAN SELANGOR ZAHIR UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA RAJA FUZIAH

12/07/2024 04:38 PM

SHAH ALAM, 12 Julai (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris tokoh pejuang seni dan kraf negara Raja Datin Paduka Fuziah Raja Tun Uda yang meninggal dunia malam tadi.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Menurut hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Allahyarham yang merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Selangor Keempat Allahyarham Raja Tun Uda Raja Muhammad, seorang tokoh yang tersohor dalam industri seni dan kraf tempatan.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah Balai Seni Lukis Negara dan Perpustakaan Negara.

“Atas jasa dan bakti Allahyarham, Sultan Selangor telah mengurniakan pingat Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) kepada Allahyarham pada 2006.

“Baginda berdua berharap keluarga Allahyarham terus tabah dan reda di atas ketentuan ini dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin,” menurut hantaran itu.

Raja Fuziah yang berusia 84 tahun menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur malam tadi dan jenazah telah selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan