AM > BERITA

PERTIMBANG MASUKKAN DAPATAN TERKINI SEJARAH LEMBAH BUJANG DALAM SILIBUS SUBJEK SEJARAH

11/07/2024 04:21 PM

PETALING JAYA, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Perpaduan akan mempertimbangkan untuk mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan bagi memasukkan dapatan terbaharu sejarah Lembah Bujang (Kedah Tua) ke dalam silibus subjek sejarah.

Menteri berkenaan Datuk Aaron Ago Dagang berkata pertimbangan itu dibuat selepas mengambil kira dapatan kajian berdasarkan catatan Yi-Jing yang menggambarkan lokasi itu sebagai pusat perdagangan maju selain kehidupan masyarakat ketika itu yang unik dan kaya dengan kebudayaan.

“Mungkin (kita buat pertimbangan )..kita akan lihat penemuan baharu itu..kita perlukan naratif baharu (dalam silibus subjek sejarah)  mengikut dapatan yang terkini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa: Sejarah Kedah Tua berdasarkan Catatan Yi-Jing di sini, hari ini.

Persidangan anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dan Arkib Negara Malaysia (ANM) bersempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China dan susulan lawatan kerja Aaron ke China pada September tahun lalu itu dihadiri kira-kira 500 penyelidik ahli akademik dan sejarawan dari dalam dan luar negara. 

 Menurut Aaron Ago, Tanah Melayu melalui Kedah Tua telah pun mempunyai hubungan sosiopolitik sekian lama dengan Kerajaan China dan hubungan tidak rasmi itu berlanjutan hingga zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka namun terputus akibat Perang Dingin dan dasar penjajahan Barat yang menentang fahaman komunis.

“Sejak terjalinnya hubungan diplomatik ini (pada 1974), Malaysia dan Republik Rakyat China telah meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuklah perdagangan, pelancongan, kebudayaan, pendidikan, kesihatan, dan sains dan teknologi,” katanya. 

Mengulas mengenai Galeri 2 Muzium Arkeologi Lembah Bujang di Kedah akan dirasmikan oleh Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, beliau berkata muzium itu merupakan satu-satunya di Malaysia yang mempamerkan koleksi arkeologi kewujudan pusat perdagangan antarabangsa dan perkembangan agama Hindu Buddha di Asia Tenggara pada kurun ke-3 hingga 12 masihi.

“Artifak arkeologi yang dipamerkan dalam muzium ini merupakan bahan-bahan yang membuktikan bahawa Lembah Bujang merupakan pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan yang telah dikunjungi oleh pedagang-pedagang yang menguasai jalan perdagangan laut antara negara-negara di timur dan barat terutama pedagang-pedagang China, India dan Arab,” katanya.

Peserta persidangan itu dijadual dibawa melawat tapak Arkeologi Sungai Batu dan Muzium Arkeologi Lembah Bujuang di Kedah pada Sabtu ini (13 Julai).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan