AM > BERITA

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA 2026-2035 DIJANGKA SIAP HUJUNG TAHUN INI - ZAMBRY

11/07/2024 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035 sedang dirangka dan akan siap hujung tahun ini, bagi menggantikan PPPTM 2015-2025 yang  tamat tahun hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pelan baharu itu mencorakkan hala tuju pendidikan tinggi negara selaras dengan perkembangan teknologi semasa bagi tempoh 10 tahun akan datang.

"Dengan keperluan dunia digital dan pendidikan berasaskan industri, maka kita perlu membuat persiapan awal dalam menentukan hala tuju pendidikan tinggi negara bagi 10 tahun akan datang.

"Jadi kita perlu lihat bagaimana hendak menjadikannya (pendidikan tinggi negara) lebih anjal dalam pelbagai aspek," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Penasihat PPPTM 2026-2035 di sini hari ini

Zambry berkata pihaknya sedang mengadakan beberapa siri libat urus bersama pemegang taruh dan kumpulan sasar dalam memformulasi PPPTM 2026-2035 bagi memastikan dokumen tersebut komprehensif dan inklusif. 

Mengulas mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata sekumpulan pakar telah memberi pandangan serta membentangkan gambaran ringkas mengenai strategi, keperluan dan cabaran yang perlu digariskan dalam PPPTM 2026-2035.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menyumbang idea dan pandangan mengenai penghasilan PPPTM 2026-2035 melalui tinjauan nasional yang sedang dilaksanakan KPT. 

Tinjuan tersebut boleh diakses melalui pautan https://forms.gle/fG3JpxF4zSWk4uEh7. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan