AM > BERITA

PROJEK LRT3: LENCONGAN SEMENTARA DI JALAN SS7/25 DARI 16 JULAI-7 OKT

12/07/2024 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Lencongan trafik sementara akan dilaksanakan bermula 16 Julai hingga 7 Okt ini dari 10 pagi hingga 5 petang berikutan penutupan jalan bagi memberi laluan kerja-kerja berkaitan projek Transit Aliran Ringan 3  (LRT3) di Jalan SS7/26 berhampiran Paradigm Mall, Kelana Jaya, Selangor.

Kontraktor projek, Setia Utama LRT 3 Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini memaklumkan sepanjang penutupan itu pemandu dari Jalan SS7/26 menghala ke Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) akan dilencongkan ke lorong bertentangan Jalan SS7/26 menghala ke Paradigm Mall melalui laluan kontra dan kemudian kembali ke Jalan SS7/26 (arah LDP).

"Satu lorong akan disediakan untuk pemandu dari LDP menghala Paradigm Mall. Lencongan ini dilakukan berikutan kelulusan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku kepada orang ramai,” menurut kenyataan itu.

Projek LRT3 dijangka menghubungkan kira-kira dua juta penduduk antara Bandar Utama dan Klang, dan dibangunkan selari dengan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (GKL/KV) sekali gus menjadi ciri utama dalam memperluaskan kesalinghubungan rel ke Koridor Barat GKL/KV

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi talian bantuan LRT3 iaitu 1 800 18 2585 dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang pada Isnin hingga Jumaat (kecuali cuti umum), atau layari www.lrt3.com.my atau ikuti laman X @myLRT3.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan