AM > BERITA

BOMBA KUALA LUMPUR SASAR LEBIH 4,000 FSM, FSO MENJELANG 2026

13/07/2024 03:44 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menyasarkan lebih 4,000 Fire Safety Manager (FSM) dan Fire Safety Officer (FSO) menjelang tahun 2026, di bawah penubuhan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK).

Pemangku Pengarah JBPM Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata FSM dan FSO dilantik oleh pemilik, penghuni atau orang yang mempunyai pengurusan keseluruhan ke atas premis ditetapkan di bawah penubuhan OKK susulan penguatkuasaan pindaan 2021 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Beliau berkata peranan utama FSM dan FSO yang dilantik adalah untuk melakukan pemeriksaan berkaitan keselamatan kebakaran di premis ditetapkan dan sebagai 'first responder' sekiranya kebakaran tercetus di sesebuah premis.

“Ini bermakna penguatkuasaan penuh akan dilakukan pada tahun 2026 dengan 1,064 premis ditetapkan akan mempunyai seorang FSM dan tiga FSO. Segala tugas pemeriksaan berkaitan sistem keselamatan kebakaran dilakukan mereka.

“Jika berlaku kebakaran, OKK atau FSO dan FSM ini akan berusaha untuk memadam kebakaran atau mengosongkan premis sebelum bomba tiba,” katanya selepas hadir program Kursus ‘Building Fire Safety: Regulations’ bersama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Perbadanan Pengurusan (MC) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) JBPM Kuala Lumpur Tahun 2024 di Kompleks Kuarters JBPM, hari ini.

Seramai 141 peserta terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa di dalam pertubuhan MPP, MC dan JMB di seluruh ibu negara menyertai kursus ini, yang dianjurkan bagi tujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran keselamatan kebakaran kepada masyarakat.

Program ini juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran berkenaan penglibatan komuniti dalam menubuhkan pasukan bomba komuniti di kawasan kediaman masing-masing. 

Rozihan berkata lantikan FSM dan FSO di bawah OKK ini juga mendapatkan perakuan oleh pihak bomba bagi menunjukkan individu terbabit layak memegang posisi dan menjalankan tugas dalam premis ditetapkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan