AM > BERITA

KERAJAAN PERUNTUK RM206.8 JUTA BANGUNKAN INFRASTRUKTUR AIR DI JOHOR

13/07/2024 05:56 PM

JOHOR BAHRU, 13 Julai (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM206.8 juta bagi pembangunan infrastruktur berkaitan air di Johor meliputi 22 projek sambungan dan lapan projek baharu.  

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan pencemaran sungai selain mengusahakan beberapa projek infrastruktur air di negeri ini.

 Beliau berkata beberapa projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir sedang dilaksanakan termasuk Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Lembangan Sungai Muar Fasa II, Sungai Pemandi di Kota Tinggi, Sungai Kesang di Ledang dan di Batu Pahat. 

 "Selain itu, usaha untuk meningkatkan bekalan air juga dilaksanakan melalui Projek Penyaluran Air Layang 2 di Kota Tinggi dengan kos RM152.6 juta," katanya ketika berucap merasmikan program Ceriakan Sungai Tebrau di Pasar Pagi Orang Asli Bakar Batu di sini hari ini. 

 Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata antara aduan diterima daripada penduduk daerah ini ialah pencemaran Sungai Tebrau yang dikategorikan sebagai sederhana tercemar.

Beliau berkata keempat-empat anak Sungai Tebrau iaitu Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi mencatatkan kualiti membimbangkan dengan faktor pencemaran daripada kumbahan selain daripada industri, sektor komersial serta kerja tanah. 

"Sudah pasti kerajaan berada dalam mod ‘sense of urgency’ atau sikap yang memerlukan tindakan segera yang tinggi dalam memitigasi masalah yang berlaku, termasuk bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Khas Menangani Kemerosotan Kualiti Sungai. 

"Jangan ingat pencemaran sungai ini disumbangkan oleh kilang-kilang dan komersial sahaja kerana tanpa kita sedar, aktiviti seharian termasuk air basuhan baju, cucian sisa makanan dan air mandian juga menyumbang kepada pencemaran sungai jika sistem kumbahan tidak ditambah baik,” katanya. 

Menurut Akmal Nasrullah selain mengusahakan cadangan membaik pulih sistem pembetungan di kawasan bandar raya ini, usaha melalui kelulusan peruntukan Pusat Khidmatnya kepada premis terpilih seperti tandas di masjid diharap dapat memberi impak positif terhadap permasalahan terbabit. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan