AM > BERITA

PENGGUNAAN DRON TINGKAT KEBERKESANAN PEMANTAUAN PENCEMARAN - NIK NAZMI

16/07/2024 11:52 AM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Penggunaan dron membolehkan pemantauan pencemaran alam sekitar dan hidupan liar di kawasan perlindungan serta pencerobohan hutan dilaksanakan dengan lebih berkesan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata teknologi itu kini diaplikasikan oleh beberapa agensi di bawah kementeriannya seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan Semanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). 

“Maka dengan adanya dron walaupun ia tidak seratus peratus tetapi ia sangat membantu kerja, ia beri kelebihan dan bantu kita laksana tugas dengan cekap.

“Suatu ketika dahulu, JAS dengan kerjasama JUPEM telah menggunakan dron untuk mengesan kawasan pembuangan sisa-sisa bauksit di Kuantan, Pahang. Maklumat dijana banyak membantu pihak berwajib untuk membuat keputusan dalam menangani isu berkaitan bauksit,” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Dron Kebangsaan 2024 di sini hari ini 

Sementara itu, Nik Nazmi berkata perkembangan teknologi khususnya membabitkan dron telah mengubah landskap industri dan perkhidmatan awam di peringkat global termasuk Malaysia.

“Pada waktu ini, teknologi dron digunakan untuk menjalankan pelbagai fungsi strategik dan bukan strategik. Keupayaan dron bagi melaksanakan tugas-tugas yang berisiko dan mencabar dalam tempoh masa yang singkat telah membuka peluang baharu untuk meningkatkan keberkesanan dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk memanfaatkan teknologi itu dengan bijak dan bertanggungjawab malah dron yang ingin diterbangkan bagi tujuan kerja udara hendaklah mendapat permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). 

“Dron tidak boleh disalah guna bagi aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral seperti menceroboh hak privasi individu, mengancam keselamatan awam, membahayakan operasi penerbangan dan keselamatan negara.

Nik Nazmi dalam sidang media berkata pihaknya akan mempertingkatkan teknologi dron yang ada mengikut perkembangan semasa terutama berkaitan tugas pemantauan alam sekitar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan