AM > BERITA

LEBIH 340,000 SYARIKAT BUAT TRANSAKSI SERAH SIMPAN MAKLUMAT PEMUNYAAN BENEFISIAL

16/07/2024 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Sebanyak 340,637 syarikat telah membuat transaksi serah simpan maklumat pemunyaan benefisial (beneficial ownership) bagi tempoh 1 April hingga 14 Julai lepas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. 

Beliau berkata tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial di bawah Akta Syarikat (Pindaan) 2024 telah dibuka dari 1 April lepas hingga 30 Sept ini dengan fi lewat serah simpan dan fi rektifikasi tidak akan dikenakan, selain tindakan penguatkuasaan juga tidak akan diambil dalam tempoh berkenaan.

“Tempoh ini bertujuan memastikan semua syarikat mempunyai masa yang mencukupi untuk mematuhi keperluan tersebut melalui sistem e-BOS (Electronic Beneficial Ownership System).

“Semua syarikat diingatkan untuk mematuhi peruntukan undang-undang ini dan digalakkan untuk memanfaatkan tempoh menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial sebelum 30 September 2024,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini. 

 Syarikat dan tiap-tiap pegawai yang melanggar Seksyen 60B(6) Akta Syarikat 2016 dengan tidak mematuhi tanggungjawab ini, jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM20,000 dan dalam hal kesalahan yang berterusan, boleh dikenakan selanjutnya tidak melebihi RM500 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Armizan berkata syarikat dalam sektor peruncitan turut diingatkan untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan, termasuk menyerah simpan maklumat pemunyaan benefisial kepada SSM.

Beliau berkata peringatan itu telah disampaikan menerusi mesyuarat yang turut dihadiri empat badan gabungan iaitu Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Peruncitan Malaysia (MRCA), Persatuan Peruncit Bumiputra (BRO) dan Persatuan Pemborong Peruncit Muslim Malaysia (MAWAR) hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan