AM > BERITA

AGONG BERKENAN KURNIA BIASISWA KEPADA 14 PENUNTUT IPT

17/07/2024 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2024 kepada 14 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Istana Negara di sini hari ini.

Tujuh penerima biasiswa berkenaan ialah bagi pengajian Doktor Falsafah (PhD), manakala tujuh pada peringkat sarjana (penyelidikan).

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan memaklumkan dua penerima akan melanjutkan pengajian di universiti terkemuka luar negara, manakala 12 lagi akan meneruskan pengajian di universiti penyelidikan tempatan.

Penuntut yang menerima biasiswa bagi peringkat PhD ialah Nadrahtul Aqilah Mohd Yahya (Imperial College London – Fizik), Alyssa April Dellow (Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – Data Sains), Muhammad Aiman Mohd Sukiman (Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – Persekitaran). 

Penerima lain ialah Toh Shek Man (Universiti Putra Malaysia (UPM) – Cancer Pharmacology), Avinash Kumaresan (UKM – Nanoteknologi), Muhammad Faris Hamzi Tuan Ibrahim (UTM – Undang-undang) dan Jankin Abd Rahman (UPM – Ekonomi).

Penerima BYDPA pada peringkat sarjana pula ialah Ahmad Qayyum Fikri Ahmad Jazimin (UPM – Computer Vision AI), Nur Addina Mohamad Rosli (UPM – Pemakanan), Jeyrubini Ramesh (USM – Molecular Omics Technology) dan Nasihah Mohd Zahid (USM – Nanoteknologi). 

Turut menerima biasiswa peringkat sarjana ialah Adam Fansuri Achdiat Mahpha Fansuri (Imperial College London – Bioinformatics & Biocomputing), Muhammad Izzuddin Abdullah (UM – Biokimia) dan Nur Fatin Fitriah Nordin (UPM – Machine Learning).

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dalam kenyataan sama berkata biasiswa berprestij yang mula diperkenalkan pada 2006 menaja calon berprestasi tinggi dalam akademik dan bukan akademik (ko-kurikulum). 

"Setakat 2024, sebanyak 19 sesi penawaran dilaksanakan dengan 212 warganegara Malaysia menerima penajaan BYDPA iaitu 107 orang pada peringkat PhD dan 105 peringkat Sarjana," katanya. 

Beliau berkata ia melibatkan pengajian dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-undang, Kewangan Islam, manakala penambahan pada tahun ini dalam bidang Kecerdasan Buatan.

Dalam pada itu, penerima biasiswa, Toh menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong atas pengurniaan biasiswa berprestij itu.

"Dalam bidang pengajian saya iaitu kanser farmakologi, saya berharap akan menjumpai ubat yang lebih rendah kosnya dan mampu dimiliki semua pihak. Saya juga berharap akan dapat menjadi pensyarah dan menyumbang kepada generasi akan datang," katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan