DUNIA > BERITA

CHINA SERU CERGASKAN SEMULA PERKONGSIAN PEMBANGUNAN GLOBAL

17/07/2024 03:05 PM

NEW YORK, 17 Julai (Bernama-CMG) -- Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong menyeru supaya pembangunan sentiasa diutamakan dan sinergi dibentuk ke arah mencergaskan semula perkongsian pembangunan global. 

Beliau membuat seruan itu ketika berucap mewakili Kumpulan Rakan Inisiatif Pembangunan Global dalam sesi debat umum Forum Politik Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Matlamat Pembangunan Mampan pada Isnin.

Fu menekankan perlunya masyarakat antarabangsa mempraktikkan multilateralisme, mengukuhkan solidariti dan kolaborasi serta bertindak bersama menggerakkan Agenda Pembangunan Mampan 2030 kembali ke landasan yang betul.

Beliau berkata aspek pembangunan mesti diletakkan sebagai teras kerjasama antarabangsa sambil menggesa supaya negara maju menyalurkan sokongan berupa dana, teknologi dan pembinaan keupayaan kepada negara membangun sebagai memenuhi komitmen mereka berkaitan program bantuan pembangunan.

Menurut beliau, masyarakat antarabangsa perlu mendukung peranan PBB sebagai penyelaras pusat dalam kerjasama pembangunan antarabangsa, meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan sesama negara dan menggerakkan pembentukan landskap pembangunan global yang seimbang, terbuka, terangkum, saling untung dan makmur bersama.

Menyentuh matlamat kelaparan sifar, Fu mengesyorkan supaya komuniti antarabangsa memperkasa kerjasama membabitkan pembasmian kemiskinan serta berusaha menjaga keselamatan makanan di peringkat global.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan