AM > BERITA

RISDA DIGESA TEROKA PROGRAM BAHARU TINGKAT PENDAPATAN HASIL GETAH

17/07/2024 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) digesa untuk meneroka program baharu bagi meningkatkan pendapatan golongan pekebun kecil, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata langkah baharu perlu diambil oleh RISDA bagi membawa pembaharuan daripada terus bergantung pada sektor getah semata-mata. 

"Soalnya apabila harga komoditi ini turun naik ikut permintaan pasaran antarabangsa dan kita hadapi persaingan dengan getah tiruan atau getah sintetik. 

“Ini cabaran paling getir yang dihadapi oleh kita semua pihak kerajaan sehingga harga lantai itu dinaikkan dan kenaikan ini pun belum dapat diselesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang Program Tuisyen Rakyat RISDA 2023 di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi RISDA Manndzri Nasib dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang baharu Datuk Mohd Khair Razman Mohamed. 

Pada majlis itu, sebanyak 640 pelajar yang mengikuti tuisyen di bawah KKDW itu mencapai keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, diraikan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata dengan kepimpinan baharu RISDA, beliau mengharapkan agensi berkenaan berubah dan melakukan game changer atau pengubah keadaan supaya pekebun kecil mendapat manfaat secara langsung daripada perubahan itu. 

Beliau turut memberikan tempoh satu tahun kepada pengurusan tertinggi RISDA untuk melihat bukan hanya dari segi keuntungan, tetapi juga keberhasilan kepada golongan pekebun kecil dengan perubahan-perubahan drastik.

“Saya juga mahu anak-anak syarikat terus memberi sumbangan kepada RISDA dan RISDA berikan pula sumbangan itu kepada mereka. Tidak mustahil sesuatu yang baharu boleh dilakukan oleh kita. Jangan gunakan pendekatan yang konvensional, pendekatan cara lama … kita mesti berubah.

“Namun, teknologi harus diperkenalkan, bukan hanya dalam soal penorehan, tetapi juga soal pemprosesan dan produk-produk termasuk lateks yang mungkin kita tidak perlu import lagi jika kita melakukan satu game changer,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid mengarahkan agar Mohd Khair Razman mengadakan perbincangan dengan barisan kepimpinan RISDA berhubung hala tuju perubahan baharu yang akan direncanakan terhadap agensi berkenaan.

"Kita mesti bekerjasama dengan kementerian lain antaranya Kementerian Perladangan dan Komoditi, dari segi pengeluaran produk secara hiliran yang kebergantungan kita banyak kepada penjualan bahan yang belum diproses.

"Getah umpamanya yang belum diproses kita terpaksa mengimport lebih RM6 bilion dari negara jiran sedangkan kita ialah pengeluar getah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan