EKONOMI > BERITA

BIOECONOMY CORPORATION ANUGERAHKAN STATUS MAKMAL BIONEXUS PARTNERS KEPADA 38 MAKMAL SELURUH NEGARA

17/07/2024 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Malaysian Bioeconomy Development Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation), agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menganugerahkan status Makmal BioNexus Partners (BNP) kepada 38 buah makmal dari seluruh Malaysia.

Jumlah itu merangkumi 20 institusi pengajian tinggi, 10 institusi penyelidikan, lima syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tiga makmal swasta.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata rangkaian Makmal BNP menawarkan khidmat sokongan meliputi kepakaran, fasiliti, alatan, latihan, akreditasi, dan perkhidmatan teknikal bagi penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R,D,C&I) kepada pemain industri.

Beliau berkata melalui Makmal BNP, usahawan dan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bioteknologi dan berasaskan bio diberi sokongan dan bimbingan dalam penyelidikan produk-produk baharu, penambahbaikan produk-produk sedia ada, serta analisis dan pengkomersialan produk.

"Makmal BNP juga diberi pelbagai akreditasi antarabangsa dan tempatan termasuk Amalan Makmal Baik (GLP), Analisis Bahaya dan Kawalan Titik Kritikal (HACCP), Amalan Pembuatan Baik (GMP) dan lain-lain untuk memastikan kebolehpercayaan dan kredibiliti produk yang dihasilkan.

"Ini memudahkan penerimaan produk di pasaran tempatan dan global serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti produk bioteknologi dan berasaskan bio Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan Sijil Status Makmal BNP sempena dengan Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) di sini, hari ini.

Sementera itu, Pengerusi Bioeconomy Corporation Datuk Dr Lee Boon Chye berkata  Makmal BNP telah membimbing hampir 800 usahawan di bawah program Entrepreneur Uplift dan Klinik Halal dari 2020 hingga 2023. 

Beliau berkata para usahawan dilatih untuk menjalani latihan teknikal, pemindahan teknologi dan pengenalan dasar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), di samping kesedaran tentang pensijilan halal Malaysia. 

"Dalam tempoh ini, Makmal BNP juga telah melatih 20 buah syarikat berasaskan bio untuk bersedia memohon pensijilan halal menerusi program Halal Boost," kata beliau.

Lee juga berkata agensi itu berhasrat untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan pelbagai pihak di bawah program Makmal BNP termasuklah universiti, institusi penyelidikan dan pengajian tinggi, makmal komersial serta syarikat bioteknologi berstatus BioNexus dan Pemecut Berasaskan Bio (BBA). 

Menurutnya, kerjasama ini dapat merealisasikan matlamat Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) untuk melahirkan usahawan yang bakal membangunkan inovasi produk tempatan dengan cemerlang.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta untuk pelaksanaan Program BBA pada 2024.

Beliau berkata peruntukan itu dapat membantu industri sektor berasaskan bio menjadi lebih inovatif dan celik teknologi, seterusnya meningkatkan tenaga kerja dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan