AM > BERITA

MUHAMMAD SALMAN WAKILI MALAYSIA KE ADOBE WORLD CHAMPIONSHIP 2024 DI CALIFORNIA

18/07/2024 04:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Siswa jurusan Teknologi Reka Bentuk Grafik dari Institut Latihan Perindustrian (ILP) Nibong Tebal, Pulau Pinang dipilih mewakili Malaysia ke Adobe World Championship 2024 di California, Amerika Syarikat pada 28 hingga 31 Julai ini.

Muhammad Salman Jun Azmi, 21, dinobatkan juara antara 30 peserta akhir Kejohanan Kebangsaan CCC Adobe Certified Professional (ACP) Championship Malaysia 2024 pada Mei lepas.

Adobe World Championship 2024 adalah pertandingan menguji kemahiran reka bentuk pelajar menggunakan Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign, terbuka kepada semua institusi pengajiang tinggi (IPT), institut kemahiran, sekolah menengah, kolej dan politeknik.

Pertandingan anjuran CCC merupakan platform pelajar yang mengambil jurusan Seni dan Reka Bentuk untuk mempamerkan hasil kerja mereka pada skala lebih luas, sambil membuka peluang kepada mereka mendapatkan pekerjaan kelak.

Sementara itu, Muhammad Salman yang teruja mendapat peluang bertanding dengan barisan pereka grafik antarabangsa berkata dia memerlukan latihan secukupnya sebagai persediaan ke kejohanan itu.

“Setakat ini, saya mahu dapatkan latihan secukupnya,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.

Pengajar Bahagian Teknologi Reka Bentuk Grafik, ILP Nibong Tebal Hasfuat Abdul Rahman berkata Muhammad Salman telah menunjukkan minat dalam rekaan grafik sejak peringkat awal memasuki institusi pengajian itu.

“Minat yang mendalam dalam rekaan grafik membuatkan Salman bersungguh-sungguh berlatih dan mendalami teknik yang sukar,” katanya.

Hasfuat berkata persiapan untuk ke Amerika Syarikat berjalan lancar dengan bantuan CCC dan AceStar Sdn Bhd.

“Kejohanan itu menawarkan hadiah utama sebanyak US$8,000 (RM37,243). Kami akan cuba yang terbaik,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan