AM > BERITA

UPACARA HORMAT DIRAJA DAHULUI ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KE-17 

20/07/2024 10:35 AM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim yang penuh gilang-gemilang di Istana Negara hari ini dimulakan dengan upacara penuh tradisi ketenteraan Hormat Diraja daripada tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Upacara yang berlangsung di Dataran Istana Negara itu melibatkan cabang darat, laut dan udara, merupakan lambang taat setia pasukan pertahanan negara kepada Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi ATM.

Acara bermula tepat pukul 9.45 pagi dengan keberangkatan Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Peterana Diraja, diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebaik tiba di Peterana Diraja, Yang di-Pertuan Agong diberi Hormat Diraja oleh Kawalan Kehormatan Utama dibarisi empat pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) diketuai Mejar Muhammad Fikri Senan yang turut membawa Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Panji-Panji Rejimen 1 RAMD.

Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD dan Panji-panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.

Sultan Ibrahim yang mengenakan Muskat iaitu persalinan istiadat Yang di-Pertuan Agong kemudiannya berkenan memeriksa Kawalan Kehormat Utama dan memberi hormat sewaktu melintasi panji-panji.

Selesai pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi menerima Hormat Diraja dan serentak itu juga lagu Negaraku berkumandang. 

Seri Paduka Baginda berdua kemudian berangkat meninggalkan Peterana Diraja ke Dewan Seri Maharaja bagi meneruskan atur cara istiadat pertabalan diiringi Anwar dan Dr Wan Azizah.

Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan